Ajinomoto perkasa nutrisi atlet negara

16 Aug 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ajinomoto perkasa nutrisi atlet negara

ASPEK nutrisi atlet negara menerima suntikan tambahan menjelang beberapa temasya besar apabila Majlis Sukan Negara (MSN) menjalinkan kerjasama strategik dengan Ajinomoto (Malaysia) Berhad sebagai Rakan Sajian Rasmi MSN.

Kerjasama menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) itu dilihat cukup signifikan ketika kontinjen negara bakal menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebelum Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027, dengan Ajinomoto mahu menggunakan kepakaran lebih dua dekad dalam nutrisi sukan bagi menyokong prestasi atlet.

Ketua Pegawai Eksekutif Ajinomoto (Malaysia) Berhad, Daisaku Wadami berkata, tempoh dua tahun ini cukup penting dan pihaknya mahu memainkan peranan lebih besar dalam membantu atlet negara menerusi sokongan nutrisi serta produk berkaitan.

“Kumpulan Ajinomoto sudah lebih 20 tahun menyokong atlet menerusi produk pemakanan dan nutrisi yang sihat. Kami sangat gembira dapat menjalinkan hubungan baik dengan MSN. Tahun ini ada Sukan Asia di Jepun dan tahun depan Sukan SEA di Malaysia.

“Jadi, ini tempoh yang sangat penting buat kami dan kami mahu memberikan sokongan sebanyak mungkin serta membantu atlet Malaysia mencapai kejayaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan, kelmarin.

Kerjasama itu antaranya melibatkan Victory Project Malaysia menerusi konsep Winning Meals Kachimeshi® atau ‘Makanan Juara’ yang menekankan pemakanan seimbang, selain produk nutrisi sukan aminoVITAL® berasaskan asid amino bagi menyokong keperluan atlet ketika latihan, pertandingan dan proses pemulihan.

Menurut Wadami, aminoVITAL® yang diperkenalkan di Malaysia kira-kira lima tahun lalu pada awalnya banyak memberi tumpuan kepada komuniti maraton dan larian, namun penggunaannya kini semakin berkembang.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, manfaat kerjasama berkenaan dijangka dinikmati kira-kira 700 atlet sepenuh masa yang kini berada dalam program MSN, sebelum jumlah berkenaan dijangka meningkat sehingga 1,300 atlet menjelang Sukan SEA 2027.

“Semua atlet di bawah program akan mendapat manfaat secara langsung atau tidak langsung daripada penyajian ini. Ajinomoto juga akan menyediakan suplemen kepada atlet di pusat atlet serta dewan makan kita dan ini merupakan nilai tambah kepada perkhidmatan yang telah disediakan,” katanya.

The post Ajinomoto perkasa nutrisi atlet negara appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved