MSN sedia iring Azizul ke LA

14 Aug 2026 • 5:50 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: MSN sedia iring Azizul ke LA

KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) memberi ‘lampu hijau’ untuk menyokong Datuk Azizulhasni Awang memburu Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 apabila laluan ke temasya itu sudah dirangka bersama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, perancangan yang dibentangkan dan dipersetujui bersama PKBM sejak Jun lalu itu meletakkan Azizulhasni sebagai antara atlet yang diberikan tumpuan, selain MSN bersedia menyokong sepenuhnya keperluannya sekiranya memilih meneruskan misi ke LA 2028.

“Pihak MSN telah mengadakan perjumpaan dengan beliau petang semalam untuk membincangkan perancangannya. Olympic Pathway juga sudah kita bincangkan dan bentangkan kepada PKBM pada Jun lalu.

“Kedua-dua pihak, MSN dan PKBM sudah bersetuju dengan Olympic Pathway yang akan melibatkan Datuk Azizul sebagai salah seorang atlet yang akan diberikan tumpuan,” katanya.

Bagaimanapun, pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu masih belum memberikan kata putus secara rasmi mengenai penyertaannya ke LA apabila mahu menyelesaikan terlebih dahulu misi pada Sukan Asia Aichi-Nagoya bulan depan.

Menurut Jefri, pendirian tersebut turut disampaikan Azizulhasni dalam pertemuan bersama MSN dengan pelumba berusia 38 tahun itu dijangka mengumumkan sendiri keputusan mengenai masa depannya selepas temasya berkenaan.

“Datuk Azizul memaklumkan kepada MSN bahawa beliau akan memberikan tumpuan kepada Sukan Asia terlebih dahulu dan selepas itu, beliau akan membuat pengumuman berkenaan penyertaannya ke Sukan Olimpik LA,” katanya.

Image from: MSN sedia iring Azizul ke LA
KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin (tengah) bersalaman bersama Ketua Pegawai Eksekutif Ajinomoto (Malaysia) Berhad, Daisaku Wadami (dua kanan) selepas Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) dan Majlis Sukan Negara (MSN) di MSN di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

Malah, sekiranya Azizulhasni memberikan lampu hijau untuk memburu penampilan Olimpik keenam, MSN dan PKBM bersedia memberikan sokongan penuh berdasarkan keperluan program yang sudah dirangka buat The Pocket Rocketman itu.

Dalam perkembangan lain, MSN turut memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Ajinomoto (Malaysia) Berhad sebagai Rakan Sajian Rasmi MSN bagi memperkukuh sokongan pemakanan dan nutrisi kepada atlet negara.

Menurut Jefri, kerjasama itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 700 atlet sepenuh masa yang kini menjalani latihan di bawah program MSN sebelum jumlah berkenaan meningkat kepada sekitar 1,300 atlet menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2027.

Kerjasama tersebut merangkumi penyediaan produk nutrisi sukan serta sokongan pemakanan kepada atlet di pusat latihan MSN dan ketika bertanding di luar negara, selain pelaksanaan Victory Project Malaysia menerusi program Winning Meals Kachimeshi® atau “Makanan Juara” serta produk aminoVITAL. KOSMO! ONLINE

The post MSN sedia iring Azizul ke LA appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved