Cadangan penggabungan Bumi Armada-MISC dibatalkan, fokus agenda pertumbuhan kendiri

05/08/2025 - 12:09
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 5 Ogos – Cadangan penggabungan antara dua pemain utama industri perkapalan negara, Bumi Armada Bhd dan MISC Bhd, telah dibatalkan menjelang tamat tempoh memorandum persefahaman (MoU) pada 14 Ogos ini.
Penggabungan yang diumumkan pada November 2024 itu dirancang melibatkan penyatuan perniagaan kapal terapung pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) milik kedua-dua syarikat.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, lembaga pengarah MISC berkata, hasil penilaian dan perbincangan yang dijalankan mendapati penggabungan tersebut tidak akan mencapai sepenuhnya objektif strategik yang disasarkan.
MISC memaklumkan pihaknya akan meneruskan pelan pertumbuhan lain yang telah dikenal pasti.
Sementara itu, Bumi Armada dalam kenyataan berasingan pula berkata, ia akan terus mengejar peluang pertumbuhan yang disokong oleh kedudukan kewangan syarikat yang kukuh.
Ketika penggabungan dicadangkan sebelum ini, kedua-dua syarikat menyatakan ia bakal mewujudkan sebuah entiti sektor khusus berpusat di Malaysia yang memanfaatkan gabungan bakat, keupayaan pembangunan projek, serta kepakaran kejuruteraan daripada kedua-dua pihak.
Bagi Bumi Armada, penggabungan itu dijangka mampu meningkatkan penilaian pasaran syarikat selepas melalui tempoh tekanan disebabkan isu projek dan kedudukan kewangan sewaktu kemerosotan harga minyak beberapa tahun lalu.
Bumi Armada memiliki tujuh unit FPSO, termasuk tiga unit milik penuh yang beroperasi di India, United Kingdom, Vietnam dan Angola yang keseluruhannya dianggarkan bernilai sekitar RM4.6 bilion.
Syarikat itu juga mempunyai satu unit penyimpanan terapung LNG, dua aset huluan minyak dan gas luar pesisir di Indonesia, selain sedang menceburi bidang perdagangan LNG serantau dan pembangunan fasiliti penangkapan karbon (CCUS) di United Kingdom.
MISC pula, sebagai syarikat tersenarai dalam indeks FBM KLCI dan dimiliki 51% oleh Petronas, memiliki armada luar pesisir yang lebih besar merangkumi 12 aset, termasuk enam FPSO, lima kapal pengeluaran terapung dan satu sistem pengeluaran separa tenggelam yang beroperasi di Malaysia, Brazil dan Vietnam.
Ia turut mengendalikan perniagaan penghantaran tenaga merangkumi LNG dan petroleum, menjadikannya antara peneraju perkapalan tenaga serantau.
Pembatalan ini sekaligus menamatkan potensi pembentukan satu entiti besar dalam sektor FPSO tempatan, namun kedua-dua syarikat dijangka kekal agresif dalam meneruskan agenda pertumbuhan masing-masing. - DagangNews.com
standard

