
IPOH – Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) sedang mendapatkan peruntukan kira-kira RM50,000 bagi memasang jaring keselamatan di bahagian bawah Jambatan Victoria, Enggor sebagai langkah segera susulan kejadian meragut nyawa seorang kanak-kanak, Isnin lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pemasangan jaring itu merupakan antara langkah keselamatan tambahan yang akan dilaksanakan, sementara menunggu kerja pembaikan lain di jambatan berusia lebih 100 tahun itu.
“Berdasarkan maklumat MPKK, pemantauan terhadap jambatan itu telah dibuat dari semasa ke semasa, dengan pemeriksaan fizikal terakhir di tapak pada 30 Jun lalu.
“Malah, sebelum kejadian ini, permohonan peruntukan juga telah dibuat bagi kerja penyelenggaraan termasuk penggantian kira-kira 60 kayu landasan yang telah usang,” katanya di sini hari ini.
Menurut Sandrea Ng, susulan kejadian itu, MPKK turut mengambil tindakan segera dengan menutup akses masuk ke bahagian struktur besi Jambatan Victoria kepada pengunjung mulai semalam sebagai langkah keselamatan.
Katanya, penutupan itu bagaimanapun tidak melibatkan keseluruhan kawasan Jambatan Victoria apabila kawasan luar serta bahagian struktur batu masih dibuka dan boleh dilawati orang ramai.- KOSMO! ONLINE
The post Akses masuk ke Jambatan Victoria ditutup sementara, jaring keselamatan dipasang appeared first on Kosmo Digital.





