
IPOH: Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) sedang mendapatkan peruntukan kira-kira RM50,000 bagi memasang jaring keselamatan di bahagian bawah Jambatan Victoria, Enggor sebagai langkah segera susulan kejadian meragut nyawa seorang kanak-kanak, Isnin lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pemasangan jaring itu merupakan antara langkah keselamatan tambahan yang akan dilaksanakan, sementara menunggu kerja pembaikan lain di jambatan berusia lebih 100 tahun itu.
“Berdasarkan maklumat MPKK, pemantauan terhadap jambatan itu telah dibuat dari semasa ke semasa, dengan pemeriksaan fizikal terakhir di tapak pada 30 Jun lalu.
“Malah, sebelum kejadian ini, permohonan peruntukan juga telah dibuat bagi kerja penyelenggaraan termasuk penggantian kira-kira 60 kayu landasan yang telah usang,” katanya di sini hari ini.
Menurut Sandrea Ng, susulan kejadian itu, MPKK turut mengambil tindakan segera dengan menutup akses masuk ke bahagian struktur besi Jambatan Victoria kepada pengunjung mulai semalam sebagai langkah keselamatan.
Katanya, penutupan itu bagaimanapun tidak melibatkan keseluruhan kawasan Jambatan Victoria apabila kawasan luar serta bahagian struktur batu masih dibuka dan boleh dilawati orang ramai.
“Penutupan bahagian struktur besi ini bersifat sementara dan akan diteruskan sehingga kerja penggantian kayu landasan yang telah usang dan reput serta langkah keselamatan tambahan dapat dilaksanakan dan keadaan disahkan sesuai untuk dibuka semula,” katanya.
Jambatan Victoria merupakan aset milik Railway Assets Corporation (RAC) manakala MPKK membantu daripada aspek penyelenggaraan kawasan memandangkan ia merupakan produk pelancongan dan warisan sejarah tempatan.
“Saya amat dukacita dengan kejadian yang berlaku di Jambatan Victoria dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Keselamatan pengunjung perlu menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi bagi sebuah struktur warisan yang telah berusia lebih 100 tahun,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira lima meter di Jambatan Victoria, Enggor di Kuala Kangsar, Isnin lalu.
Kejadian sekitar pukul 6.30 petang itu berlaku ketika mangsa berjalan di atas jambatan tersebut bersama bapanya sambil memegang tangan sebelum terjatuh ke dalam satu lubang di jambatan berkenaan.
Kanak-kanak itu kemudian dilihat ibunya berada di atas jalan raya dalam keadaan masih hidup sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital berkenaan sekitar pukul 7.40 petang hari yang sama. – UTUSAN
The post Bahagian masuk ke struktur besi Jambatan Victoria ditutup sementara appeared first on Utusan Malaysia.





