Akses pendidikan formal, kesihatan awam tertakluk dasar kementerian

LocalPolitics
2 Nov 2026 • 1:56 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Akses pendidikan formal, kesihatan awam tertakluk dasar kementerian

KUALA LUMPUR: Akses pendidikan formal dan perkhidmatan kesihatan awam bagi kanak-kanak tanpa dokumen yang masih menunggu keputusan permohonan kewarganegaraan tertakluk kepada dasar, syarat serta prosedur ditetapkan kementerian berkaitan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kementeriannya melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertanggungjawab mengurus permohonan kewarganegaraan berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Katanya, sebarang urusan berkaitan kemudahan pendidikan dan kesihatan termasuk penentuan caj rawatan bukan di bawah bidang kuasa KDN, sebaliknya perlu dirujuk kepada kementerian atau agensi bertanggungjawab.

“Akses kepada pendidikan formal dan perkhidmatan kesihatan awam adalah tertakluk kepada dasar, syarat-syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh kementerian atau agensi berkenaan, maknanya bukan di bawah KDN.

“Sehubungan itu, sebarang kemudahan akses kepada pendidikan dan juga kepada kesihatan termasuk perkara berkaitan dengan caj rawatan ini sebenarnya perlu dirujuk kepada kementerian berkenaan kerana ia merupakan bidang kuasa kementerian atau jabatan berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) berhubung penyelarasan dasar sementara bagi menjamin akses pendidikan dan kesihatan tanpa caj warga asing serta perlindungan sosial kepada kanak-kanak yang masih menunggu keputusan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata, kanak-kanak yang memerlukan perlindungan boleh dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan penilaian dan tindakan lanjut berkaitan aspek kebajikan serta perlindungan sosial.

Katanya, sebarang tindakan susulan terhadap kanak-kanak terbabit adalah berdasarkan keperluan dan kelayakan masing-masing tanpa menjejaskan proses keputusan serta status kewarganegaraan mereka.

“Walau bagaimanapun, kerajaan akan terus memastikan supaya keputusan kewarganegaraan ini dilaksanakan secara teratur dan teliti selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada dengan mengambil kira kepentingan kebajikan kanak-kanak terlibat,” katanya. – UTUSAN

The post Akses pendidikan formal, kesihatan awam tertakluk dasar kementerian appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved