KOTA TINGGI - Mayat salah seorang daripada empat remaja yang dikhuatiri lemas ketika bermandi-manda di Pantai Tanjung Lompat, Tanjung Balau, Penawar, ditemukan pada petang Rabu.
Mayat mangsa dipercayai Alif Taqiudin Kamal Hasrul Mohamad ditemui kira-kira jam 1.25 petang.
Tiga lagi yang masih belum ditemukan adalah Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Mohd Syamsuri Mohamad berkata, mayat mangsa pertama ditemukan pasukan mencari dan menyelamat dengan kerjasama penduduk kira-kira 800 meter daripada lokasi terakhir mangsa dikhuatiri lemas.
“Bagaimanapun proses pengecaman mangsa sedang dilakukan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi bagi proses bedah siasat,” katanya ditemui dilokasi kejadian pada Rabu.
Mohd Syamsuri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 8.20 pagi Rabu.
Jelas beliau, seramai 30 anggota terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan nelayan terlibat dalam operasi berkenaan.
"Berdasarkan maklumat diterima, empat mangsa bersama dua lagi rakan mereka sedang bermandi-manda di pantai berkenaan dalam keadaan ombak kuat.
“Empat daripada mangsa dikhuatiri lemas manakala dua lagi berjaya diselamatkan orang awam yang berada di lokasi kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat kini giat dilakukan oleh pasukan mencari dan menyelamat dengan bantuan penduduk setempat,” katanya.






