

Aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dilaporkan sesak dan bergerak perlahan menghala ke Plaza Tol Gombak malam ini ekoran pertambahan jumlah kenderaan yang mendadak.
Kesesakan luar biasa ini dipercayai berpunca daripada pergerakan orang ramai yang mengambil kesempatan daripada cuti hujung minggu yang bersambung dengan cuti umum sempena sambutan Maulidur Rasul pada Selasa ini.
Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan, setakat pukul 8.06 malam, pergerakan kenderaan dilaporkan perlahan arah barat bermula dari Kilometer (KM) 24.5 berlarutan sehingga ke Plaza Tol Gombak.
Trafik perlahan turut direkodkan sehingga ke KM21.6 sebelum mula beransur lancar sebaik memasuki jajaran Genting Sempah menuju ke Plaza Tol Bentong.
Dalam pada itu, tumpuan kenderaan turut dilihat meningkat di beberapa lebuh raya utama lain di seluruh negara:
Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS E1): Trafik perlahan arah selatan dari Lembah Beringin menuju ke Tanjung Malim.
Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS E2): Pertambahan kenderaan menyebabkan kesesakan arah utara dari Plaza Tol Sungai Besi menuju ke pusat bandar, manakala arah selatan perlahan di laluan Sedenak ke Kulai.
Orang ramai yang merancang perjalanan pulang ke kampung atau bercuti dinasihatkan supaya memandu dengan cermat serta merancang masa perjalanan bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. - KOSMO! ONLINE






