amree22/10/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Okt – Harbour-Link Group Berhad memperuntukkan RM56.68 juta bagi pembelian dua kapal kontena gerak sendiri sepanjang 90 meter, sebagai langkah memperkukuh kapasiti armada marin dan memenuhi permintaan perkhidmatan pengangkutan kontena yang berkembang di rantau ini.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, pelaburan terkini itu mencerminkan usaha kumpulan untuk meningkatkan keupayaan operasi logistik marinnya, dengan penambahan kapal baharu dijangka membantu mempertingkat kecekapan operasi serta menyokong pertumbuhan perniagaan pada masa depan.
Tambah kumpulan berkenaan, anak syarikatnya yang memiliki 85% kepentingan, Harbour-Link Lines Sdn Bhd, memeterai dua perjanjian jual beli secara berasingan dengan Sapor Shipbuilding Industries Sdn Bhd berpangkalan di Sibu, Sarawak pada 1 Ogos 2026 bagi memperoleh kedua-dua kapal berkenaan.
"Setiap kapal bernilai RM28.34 juta, menjadikan jumlah pertimbangan tunai bagi pemerolehan itu sebanyak RM56.68 juta. Kedua-dua kapal tersebut yang akan dibina dan diserahkan oleh Sapor masing-masing dikenal pasti sebagai nama SAPOR 158 dan SAPOR 161," jelas Harbour-Link.
Kapal berkenaan mempunyai panjang keseluruhan 90 meter, lebar 21.336 meter dan kedalaman 5.776 meter, selain dilengkapi dua enjin Yanmar 6EY22AW berkuasa 1,370 kilowatt setiap satu serta tiga penjana utama. Kedua-duanya akan didaftarkan di Kuching, Sarawak, di bawah bendera Malaysia.
Manfaat kewangan daripada pemerolehan itu tidak dijangka memberi kesan material kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan semasa, namun sumbangan positif kepada keuntungan dan pendapatan sesaham hanya dijangka selepas kedua-dua kapal berkenaan mula beroperasi di lapangan.

Ujar Harbour-Link, pembelian itu juga akan dibiayai sepenuhnya melalui dana yang dijana secara dalaman atau pinjaman bank, sekali gus menjadikan komposisi pembiayaan akhir sebagai faktor yang perlu diperhatikan kerana ia akan menentukan kesan terhadap nisbah penggearan kumpulan.
"Setiap kapal melibatkan deposit 20% atau RM5.67 juta ketika perjanjian ditandatangani, diikuti bayaran berperingkat berdasarkan kemajuan pembinaan, dan penyerahan kapal. Baki akhir 5% dibayar selepas sijil kelas berkaitan dikeluarkan tanpa sebarang syor dalam tempoh tiga bulan," katanya.
Setakat tarikh pengumuman di bursa, kumpulan berkenaan selepas lebih dua bulan, sudah membayar sebanyak RM11.34 juta, iaitu bersamaan 20% daripada jumlah harga pembelian kedua-dua kapal. Penyerahan kapal akan dibuat dalam keadaan terapung berhampiran limbungan pembina di Sibu.
Pemerolehan itu selaras dengan rancangan pengembangan Harbour-Link menambah kapasiti armada marin, meningkatkan kecekapan operasi dan memenuhi permintaan pengangkutan kontena serantau, namun ia masih terdedah kepada risiko umum termasuk perubahan keadaan ekonomi semasa dan industri.
Dari segi kesan kewangan pula jelas kumpulan berkenaan, pembelian kapal tersebut tidak menjejaskan modal saham terbitan atau pegangan pemegang saham utama syarikat, di samping pada masa sama tidak dijangka memberi sebarang kesan material segera kepada aset bersih sesaham.
Nisbah penggearan pula bergantung pada pecahan akhir antara dana dalaman dengan pinjaman bank, manakala nisbah peratusan tertinggi bagi transaksi itu ialah 5.47%. Lembaga pengarah berpendapat pemerolehan tersebut adalah demi kepentingan terbaik kumpulan. - DagangNews.com






