Padini labur RM12 juta tingkatkan pengurusan inventori, cegah kecurian stok

LocalBusiness & Finance
23 Oct 2026 • 11:07 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Padini labur RM12 juta tingkatkan pengurusan inventori, cegah kecurian stok Image from: Padini labur RM12 juta tingkatkan pengurusan inventori, cegah kecurian stok liza23/10/2026 - 11:07 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt – Padini Holdings Berhad melabur kira-kira RM12 juta dalam sistem pengurusan inventori dan pencegahan kecurian ketika kumpulan peruncitan fesyen itu merancang menaik taraf 13 kedai di Malaysia pada tahun kewangan 2027 (FY2027).

 

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha Padini meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kehilangan inventori serta mengawal kos ketika berdepan persekitaran perniagaan runcit yang semakin mencabar.

 

Dalam laporan tahunan FY2026, Padini berkata pelaburan itu merangkumi penggunaan sistem pengenalan frekuensi radio (RFID) bagi meningkatkan pengesanan dan pengurusan inventori, serta sistem pengesanan antikecurian elektronik (EAS) yang dipasang di premis peruncitan kumpulan berkenaan.

 

Padini berkata, sistem RFID mula beroperasi pada FY2026 selepas proses pengujian selesai di gudang dan kedai runcitnya.

 

Bagi sistem EAS pula, peranti pengesanan antikecurian dipasang pada siling di seluruh rangkaian kedai kumpulan itu bagi menangani kehilangan inventori.

 

Padini menjangkakan pelaburan kira-kira RM12 juta itu dapat meningkatkan kecekapan pengurusan stok, mengurangkan kekangan akibat kekurangan pekerja serta meminimumkan kesilapan manusia dan kehilangan inventori.

 

Kumpulan itu berkata, kesan dan manfaat daripada penggunaan sistem RFID akan terus dinilai apabila teknologi berkenaan semakin digunakan secara menyeluruh dalam operasinya.

 

Naik taraf 13 kedai, perluas rangkaian logistik

Selain pelaburan teknologi, Padini merancang menaik taraf 13 kedai di Malaysia sepanjang FY2027.

 

Daripada jumlah itu, dua kedai telah ditutup sementara pada akhir FY2026 bagi kerja pengubahsuaian dan dijadualkan dibuka semula pada suku pertama FY2027.

 

Dalam aspek logistik, Padini meneruskan perancangan membangunkan hab logistik di Malaysia Timur, wilayah selatan dan wilayah utara, dengan pembangunan rangkaian itu dijangka berterusan sehingga FY2029.

 

Hasil susut 3.2%, keuntungan selepas cukai turun 27.2%

Bagi FY2026 berakhir 30 Jun 2026, Padini mencatat hasil RM1.88 bilion, turun 3.2% berbanding RM1.94 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Keuntungan sebelum cukai merosot 23.2% kepada RM160.8 juta daripada RM209.4 juta, manakala keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemegang saham syarikat turun 27.2% kepada RM112.6 juta.

 

Menurut Padini, prestasi itu dipengaruhi persekitaran perbelanjaan pengguna yang lebih berhati-hati, persaingan sengit dalam sektor peruncitan serta peningkatan perbelanjaan operasi, termasuk kos sewaan susulan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada perkhidmatan sewaan dan pajakan mulai 1 Julai 2025.

 

Bagaimanapun, margin keuntungan kasar kumpulan kekal pada 39% sepanjang tahun kewangan berkenaan.

 

Peruncitan digital terus diberi perhatian

Padini turut meneruskan usaha mengembangkan saluran jualan dalam talian melalui platform e-dagang dan aplikasi mudah alihnya bagi melengkapi operasi kedai fizikal.

 

Kumpulan itu berkata, sumbangan jualan e-dagang ketika ini masih kecil berbanding jumlah hasil keseluruhan, namun saluran digital kekal penting dalam strategi pengembangan serantau dan usaha meningkatkan capaian kepada pelanggan.

 

Bagi FY2027, Padini menjangkakan persekitaran perniagaan domestik kekal mencabar berikutan inflasi yang menjejaskan kuasa beli pengguna.

 

Sehubungan itu, kumpulan berkenaan akan terus memberi tumpuan kepada kawalan kos operasi, penambahbaikan proses perniagaan serta penawaran produk yang mengutamakan reka bentuk, kualiti dan harga berpatutan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved