CYBERJAYA - Telefon bimbit pengamal media berbunyi hampir serentak ketika ujian Sistem Amaran Awal (EWS) dilaksanakan di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Khamis.
Wartawan Sinar Harian yang menyertai sesi itu turut menerima amaran kecemasan apabila telefon bergetar, mengeluarkan bunyi khas dan memaparkan mesej pada skrin sebelum disusuli pemberitahuan melalui suara.
Ujian dalam taklimat khas bersama ketua-ketua pengarang dan pengamal media itu memperlihatkan bagaimana amaran kecemasan boleh disalurkan terus kepada pengguna telefon di kawasan yang terjejas.
Sebelum ujian bermula, semua peserta diminta menyemak sistem operasi telefon masing-masing bagi memastikan peranti memenuhi spesifikasi minimum yang ditetapkan MCMC.
Pada awalnya, proses pemeriksaan itu disangka rumit, namun sebenarnya cukup mudah dengan hanya membuka bahagian tetapan telefon untuk menyemak versi sistem operasi dan kemas kini perisian.
Lebih menarik, pengguna tidak perlu memuat turun aplikasi tambahan, mendaftarkan nombor telefon atau melanggan perkhidmatan khusus untuk menerima amaran kecemasan itu.
EWS menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran kecemasan disiarkan secara serentak kepada telefon yang serasi.
Berbeza daripada sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada nombor penerima, teknologi CBS membolehkan penyampaian maklumat dilakukan tanpa perlu menghantar mesej kepada setiap nombor secara berasingan.
Pengguna juga boleh menerima amaran kecemasan walaupun tidak mempunyai baki kredit prabayar, telefon dalam mod senyap dan bergetar.
Buat masa ini, pemberitahuan berkenaan disediakan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Menurut MCMC, keperluan awal penerimaan EWS ialah iPhone 11 atau model lebih baharu dengan iOS 27.2, telefon Android yang menggunakan Android 12 ke atas serta telefon Huawei dengan EMUI 16 atau versi terkini.
Pelaksanaan EWS membabitkan kerjasama MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), 14 agensi teknikal lain serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Ujian sama akan dijalankan di bangunan Parlimen pada 23 November ini sebelum diadakan secara serentak di seluruh negara, 29 November nanti bagi menilai keberkesanan sistem tersebut.






