Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Ujian Sistem Amaran Awal (EWS) akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pada 29 November ini.
Perkara ini diumumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi satu hantaran di media sosial semalam (19 November).
MCMC sewaktu mengadakan sesi taklimat mengenai sistem itu bersama wakil media di Cyberjaya berkata, ia bagi menilai penerimaan mesej amaran kecemasan pada telefon bimbit orang ramai.
Difahamkan ujian EWS yang menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) untuk menghantar amaran kecemasan itu akan berlangsung antara jam 10:10 hingga 10.30 pagi.
Berikut merupakan tarikh penting yang perlu anda ketahui, take note semua:
- 19 November 2026: Ujian Teknikal
- 23 November 2026: Ujian Simulasi di Parlimen
- 29 November 2026: Ujian Seluruh Negara
- Selepas pengujian: Operasi Penuh, tertakluk kepada pengesahan kesiapsiagaan sistem
View on Threads
Bagaimanapun, apa yang anda perlu tahu adalah siren dan notifikasi ini tidak akan diterima dan sampai kepada individu sekiranya peranti tidak dikemaskini.
Bagi memastikan telefon anda bersedia menerima amaran melalui EWS, pengguna disarankan untuk mengemas kini sistem operasi peranti dan telefon masing-masing kepada versi terkini sama ada yang menggunakan iOS, Android atau HUAWEI.
Jenis Model Peranti Yang Serasi Dengan EWS
MCMC berkata, peranti yang serasi dengan sistem EWS ini termasuklah:
- iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 atau versi lebih terkini
- Telefon Android dengan Android 12 atau versi lebih terkini
- Peranti Huawei dengan EMUI 16 atau versi lebih terkini
Difahamkan keserasian bergantung pada jenis model serta tetapan peranti dan sokongannya terhadap CBS atau ‘Wireless Emergency Alerts’ (WEA) di Malaysia.
Nak tahu langkah-langkahnya? Rujuk infografik yang dikongsikan MCMC di bawah:
#1 Pengguna iOS

#2 Pengguna Android

#3 Pengguna HUAWEI

Jangan Terkejut Telefon Keluar Siren Pada 29 November Ini
Untuk info, teknologi CBS membolehkan amaran kecemasan dihantar secara serentak kepada telefon mudah alih yang serasi di kawasan ditetapkan menerusi rangkaian 4G dan 5G.
Berbeza dengan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) biasa yang anda selalu terima di telefon, CBS mampu menyiarkan amaran ke pelbagai peranti dalam kawasan geografi yang ditetapkan dalam tempoh kurang seminit.
Pengguna akan mendapat notifikasi dan siren sekiranya berada di kawasan terjejas tanpa perlu memuat turun aplikasi, mendaftar atau mempunyai data Internet.
Tujuan utama EWS ini diperkenalkan adalah bagi memastikan orang ramai mempunyai masa mencukupi untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan melindungi diri daripada bencana sebagai contoh, banjir.
Satu lagi info penting yang pengguna perlu tahu adalah individu tidak boleh menerima amaran itu sekiranya telefon dimatikan.
EWS merangkumi enam kategori iaitu Amaran Kebangsaan, Amaran Ekstrem, Amaran Teruk, Amaran Amber (Orang Hilang), Amaran Ujian dan Amaran Latihan. Namun, hanya Amaran Kebangsaan dan Amaran Ekstrem akan mengaktifkan getaran telefon.
Baca Artikel Berkaitan: Ujian Sistem Amaran Awal Nasional Di Selangor, KL, Kelantan & Pahang Pada 19 November 2026 Adalah Tidak Benar – MCMC






