Amazon kini dilaporkan menangguhkan pengenalan Alexa yang dikuasakan dengan kecerdasan buatan janaan ke tahun 2025. Pembangunannya dikatakan menghadapi beberapa cabaran, dan membawa kepada penangguhan pengenalannya.

Alexa merupakan pembantu maya yang ditawarkan oleh Amazon melalui beberapa peranti mereka. Sebelum ini, ia membolehkan pengguna bertanyakan beberapa perkara, disamping membuat tempahan pembelian terus melalui Amazon.
Namun, dengan ledakan era kecerdasan buatan janaan ini, Amazon ingin mengemaskini penawaran Alexa dengan integrasi kecerdasan buatan, sekaligus membolehkan pengguna berbual dengan Alexa, dan ia boleh memahami sesuatu konteks perbualan. Ia dikatakan pada awalnya Amazon menyasarkan pengenalannya pada bulan Oktober. Namun, Amazon menamatkan acara bulan Oktober dengan pengenalan Kindle baharu sahaja.
Dengan pengenalan ChatGPT dan Gemini yang boleh berbual dengan manusia, semestinya Alexa tidak ingin ketinggalan. Sama-sama kita nantikan pada awal 2025 kelak, untuk melihat sendiri apakah kejutan yang disediakan oleh Amazon melalui Alexa AI mereka.

