SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim perlu memberikan penjelasan berkenaan pihak yang didakwa memaksanya menandatangani dokumen proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan, Mohamad Hamizan Mohd Bahtiar berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan jika benar wujud tekanan, perkara tersebut wajar dijelaskan secara terbuka agar rakyat mengetahui perkara sebenar.
"Sekiranya benar Menteri Besar telah ditekan untuk menandatangani dokumen tersebut, maka persoalan yang paling wajar dijawab ialah siapakah yang menekan atau memaksa beliau dan apakah bentuk tekanan yang dikenakan?
"Mengapa beliau ditekan dan dalam keadaan bagaimana dokumen tersebut ditandatangani," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, perkara terbabit bukan persoalan kecil kerana ia menyentuh integriti proses pentadbiran serta kebebasan seorang Menteri Besar dalam membuat keputusan.
Ujarnya, AMK Negeri Sembilan juga tidak berminat membuat sebarang kesimpulan berdasarkan dakwaan semata-mata.
"Kenyataan mengenai sokongan dan taat setia kepada Tuanku Muhriz yang dinyatakan Menteri Besar sebelum ini tidak dengan sendirinya menjawab persoalan pokok yang dibangkitkan.
"Persoalannya bukan soal taat setia, tetapi siapa yang menekan Menteri Besar untuk menandatangani dokumen tersebut. Rakyat berhak mendapat penjelasan yang jelas dan terus," katanya.






