
BUKIT MERTAJAM : Kira-kira 20 peserta termasuk anak angkat kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menyantuni lebih 300 penumpang komuter yang dalam perjalanan dari Stesen KTM Bukit Mertajam ke Sungai Petani menerusi program edaran Jalur Gemilang di sini, Sabtu lalu.
Dianjurkan oleh Kelab Wanita Muda Bukit Mertajam bersama Pejabat Penerangan Seberang Perai Tengah (SPT), program itu bertujuan meningkatkan kesedaran serta semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat perbagai kaum khususnya yang menggunakan perkhidmatan komuter sempena sambutan Hari Kebangsaan tidak lama lagi.
Menurut Pengerusi Kelab Wanita Muda Bukit Mertajam, Nasuha Mohd. Rodzuan, pihaknya berharap agar edaran Jalur Gemilang itu bukan sahaja mampu menceriakan perjalanan penumpang, tetapi juga menyemarakkan rasa cinta mereka terhadap tanah air.
“Semoga semangat patriotisme terus berkibar dalam hati setiap rakyat Malaysia,” katanya yang memberitahu, program itu juga memberi pengalaman bermakna kepada golongan belia dan wanita muda yang terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.
Sementara itu, anak angkat kepada Steven Sim, Lee Teck Qing, 22, yang juga merupakan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) meluahkan rasa gembira kerana dapat turut serta dalam program yang disifatkannya begitu bermakna.
“Walaupun aktiviti ini kelihatan kecil sahaja iaitu mengedarkan Jalur Gemilang kepada penumpang komuter, tetapi, ia sebenarnya menyemarakkan semangat Satu Malaysia kepada seluruh masyarakat Madani,” ujarnya.-UTUSAN
The post Anak angkat Steven bantu santuni 300 penumpang komuter, edar Jalur Gemilang appeared first on Utusan Malaysia.






