Android 17 memberikan Gaming Mode khusus untuk telefon lipat beberapa minggu lalu. Kerana ia masih lagi baharu, tidak banyak maklumat dikongsi kepada umum. Hujung minggu lalu, antaramuka rasmi serta variasi yang ditawarkan Android 17 telah dikongsi ke Reddit.

Foldable Gaming Mode pada peranti skrin lipat membahagikan skrin kepada dua. Bahagian atas digunakan untuk memaparkan permainan video sementara bahagian bawah pula memaparkan kesemua butang kawalan yang diperlukan. Ia adalah evolusi daripada antaramuka menonton YouTube pada peranti skrin lipat sebelum ini.

Dua variasi susunan papan kekunci maya diberikan iaitu Twin Stick Inline dan Twin Stick Staggered. Inline meletakkan dua tombol analog di tengah seperti alat kawalan PlayStation sementara Staggered pula meletakkan dua tombol analog seperti pada alat kawalan Xbox. Konfigurasi ini dipilih kerana ia adalah dua susunan butang alat kawalan paling popular di pasaran.
Terdapat 19 butang kesemuanya yang terdiri daripada 4 butang muka (A, B, X, Y), 4 butang D-pad, 4 butang bahu (L1, L2, R1, R2), L3, R3, butang menu, butang tetapan alat kawalan dan butang Home.

Kedua-duanya kemudian diberikan 3 pilihan saiz butang (kecil, sederhana dan besar) dan dalam pilihan mod gelap serta terang. Berdasarkan tangkapan layar, pilihan untuk mengubah lokasi butang tidak diberikan pada ketika ini. Kesemua pilihan ini boleh diakses menerusi butang dengan ikon alat kawalan tertera.
Ciri Foldable Gaming Mode masih diuji di peringkat Beta dengan ia akan ditawarkan kepada peranti lipat Android 17 dalam masa beberapa bulan sahaja lagi berkemungkinan besar bermula dengan siri Samsung Galaxy Z Fold8 bulan depan sebelum ke Google Pixel 11 Fold pada September.





