Anwar sokong titah Tuanku Muhriz kekalkan Aminuddin

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 3:08 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Anwar sokong titah Tuanku Muhriz kekalkan Aminuddin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan sokongan penuh terhadap titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, agar Datuk Seri Aminuddin Harun terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri.

“Saya menyokong titah Duli Tuanku agar YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun terus menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri, memelihara kepentingan rakyat serta menjunjung kedaulatan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Saya yakin berdasarkan pengalaman dan khidmat cemerlang, beliau akan terus menjalankan tugas dengan sempurna,” kata Anwar dalam perkongsiannya di Facebook.

Beliau berkata demikian selepas menghadap Tuanku Muhriz malam tadi bagi membincangkan perkembangan melibatkan institusi Raja dan pentadbiran kerajaan negeri.

Anwar turut menegaskan bahawa persoalan melibatkan institusi Undang sedang ditangani melalui saluran sah serta kebijaksanaan Undang sendiri.

Katanya, Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.

“Dalam apa jua keadaan, keluhuran institusi Raja dan undang-undang negeri mesti terus dipelihara serta dipertahankan,” tegas beliau.

Perdana Menteri menyeru rakyat Negeri Sembilan agar berhemah dan menjaga ketertiban dalam membicarakan hal ehwal institusi Raja serta undang-undang negeri.

“Kemenakan beraja ke mamak, mamak beraja ke muafakat, muafakat beraja kepada kebenaran, dan kebenaran itu berdiri sendiri,” ujar Anwar.

Kemelut politik Negeri Sembilan tercetus selepas 14 Adun Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Aminuddin Harun. - 28 April, 2026

The post Anwar sokong titah Tuanku Muhriz kekalkan Aminuddin appeared first on Scoop.