Anekdot Mawarith05/08/2026 - 07:00 Oleh ARIFFIN SABIRIN editor@dagangnews.com Persoalan ini mutakhir ini sering saya terima. Jika sesuatu dokumen hibah itu ditolak atau tidak disahkan oleh Mahkamah Syariah, maka ia tidak boleh berkuat kuasa. Jika ia tidak berkuat kuasa, dalam bahasa mudahnya hasrat pemberi hibah untuk memberikan harta tertentu kepada penerima hibah tidak akan tercapai.
Membuat dokumen hibah sebenarnya mudah sahaja.
Secara teorinya, ramai orang boleh menyediakan dokumen hibah. Apabila mereka menghadiri banyak seminar, bengkel atau kelas mengenai hibah, mereka akan memahami rukun dan syarat bagi memastikan hibah itu sah menurut hukum Syarak.
Atas sebab itu hari ini ramai pihak menawarkan perkhidmatan penyediaan dokumen hibah kerana prosesnya kelihatan mudah.
Malah, ada yang memberitahu saya bahawa tidaklah sesukar mana untuk mereka menyediakan dokumen hibah sendiri kerana semua maklumat telah diperoleh. Oleh itu, pada pandangan mereka, perkhidmatan profesional seperti Wasiyyah tidak lagi diperlukan.
Saya bersetuju dengan pandangan tersebut. Berdasarkan pengetahuan yang ada hari ini, menyediakan dokumen hibah memang kelihatan mudah. Jika seseorang rajin belajar dan menghadiri pelbagai kelas hibah yang banyak dianjurkan pada masa ini, dia sememangnya boleh menyediakan dokumen hibah sendiri.
Namun, persoalan sebenar bukan terletak pada penyediaan dokumen, sebaliknya pada keupayaan dokumen itu untuk terus memenuhi kehendak undang-undang apabila tiba masanya ia perlu dikuatkuasakan.
Perubahan undang-undang yang sering tidak disedari
Apa yang masyarakat kurang faham ialah undang-undang berkaitan hibah sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Sebagai penyedia hibah yang berpengalaman sejak 2004, Wasiyyah berpeluang melihat sendiri bagaimana landskap perundangan hibah berubah sepanjang lebih dua dekad yang lalu.
Apa yang kita ketahui dan lakukan dahulu mungkin tidak lagi boleh diguna pakai hari ini apabila undang-undang berubah atau undang-undang baharu diperkenalkan. Contohnya, pengenalan Enakmen Hibah Kelantan 2022 telah mengubah, sedikit sebanyak, landskap perundangan hibah di negeri itu.
Jika anda berada di Kelantan, hibah yang anda buat akan tertakluk kepada Enakmen Hibah Kelantan 2022. Rukun hibah yang empat dan syarat qabd yang dipelajari dalam kelas-kelas hibah hanyalah prinsip umum. Penentuan sama ada sesuatu hibah itu sah atau tidak bukan sahaja bergantung pada rukun dan syarat tersebut, malah turut bergantung kepada peruntukan khusus dalam enakmen negeri berkenaan.
Perlu diingat bahawa Malaysia mempunyai 14 negeri dan banyak negeri kini sedang bergerak ke arah menggubal undang-undang hibah masing-masing. Ini bermakna, jika anda memilih untuk menyediakan dokumen hibah sendiri atau menggunakan khidmat individu atau syarikat sendirian berhad yang tidak mempunyai disiplin ilmu yang kukuh, anda berdepan risiko dokumen hibah itu tidak disahkan, sekali gus menyebabkan hasrat anda tidak tercapai.



Pilih organisasi yang tepat
Apakah faktor yang perlu dipertimbangkan jika anda ingin menyediakan hibah sendiri atau menggunakan khidmat individu atau syarikat sendirian berhad?
Pertimbangan paling utama ialah sama ada individu atau syarikat yang dipilih mempunyai disiplin ilmu yang tinggi untuk sentiasa mengikuti perkembangan undang-undang semasa.
Jika mereka sekadar menyediakan dokumen hibah berdasarkan pengetahuan umum tanpa mengikuti perkembangan terkini, ada kemungkinan dokumen hibah tersebut menjadi lapuk atau ketinggalan zaman serta berisiko terbatal apabila undang-undang baharu diperkenalkan.
Kalaupun mereka rajin mengikuti perkembangan undang-undang semasa, adakah 20, 30 atau 50 tahun akan datang mereka masih wujud untuk membantu anda atau waris anda jika undang-undang berubah? Individu itu mungkin meninggal dunia lebih awal daripada anda, manakala syarikat sendirian berhad pula boleh ditutup pada bila-bila masa.
Bagaimanakah Wasiyyah memastikan dokumen hibahnya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang semasa?
Sebagai syarikat amanah yang tertakluk kepada Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100), Seksyen 33 memperuntukkan bahawa sesebuah syarikat amanah tidak boleh menamatkan operasinya tanpa kebenaran mahkamah. Ini bermakna, walaupun saya telah tiada, Wasiyyah tetap perlu terus wujud.
Komitmen memastikan pematuhan undang-undang
Pasukan pengurusan pelapis telah dilatih selama bertahun-tahun bagi mengambil alih teraju syarikat apabila tiba masanya. Pelan pewarisan saham juga telah saya sediakan bagi memastikan proses pewarisan saham saya dalam Wasiyyah berjalan lancar selepas kematian saya.
Pada hari ini, Wasiyyah juga aktif mengadakan libat urus dengan Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia bagi mendapatkan pandangan mengenai kaedah terbaik melaksanakan hibah supaya sentiasa mematuhi hukum Syarak dan undang-undang Syariah.
Walaupun cabarannya besar kerana Wasiyyah perlu memastikan semua kandungan dokumen serta prosedur operasi standard (SOP) hibah mematuhi peruntukan undang-undang di kesemua 14 negeri, dengan bantuan panel Syariah yang berpengalaman kami berusaha menanganinya dengan disiplin ilmu yang tinggi.
Sehingga hari ini, Alhamdulillah, dokumen hibah Wasiyyah yang dibawa ke Mahkamah Syariah telah menerima lebih daripada 400 perintah pengesahan, sekali gus membuktikan dokumen hibah kami sah dan berkuat kuasa.
Hibah yang dihelahkan melalui dokumen sivil
Kami sedar bahawa kami boleh mengambil jalan yang lebih mudah dalam urusan hibah jika mahu mengelakkan komplikasi dan kesukaran berurusan dengan 14 Mahkamah Syariah yang mempunyai peruntukan undang-undang berbeza.
Sebagai syarikat amanah yang diberikan kuasa yang luas di bawah Akta Syarikat Amanah, kami sebenarnya boleh menghelahkan hibah melalui penguatkuasaan dokumen sivil.
Kami boleh menyediakan dokumen hibah yang memenuhi semua rukun dan syarat bagi meraikan hasrat pelanggan. Bagi tujuan pelaksanaannya pula, kami boleh menyediakan Surat Kuasa Wakil (*Power of Attorney*) yang memberikan kuasa kepada Wasiyyah ke atas harta tersebut atau menyediakan wasiat yang melantik Wasiyyah sebagai wasi bagi menguruskan harta pusaka pelanggan.
Melalui Surat Kuasa Wakil, apabila pelanggan meninggal dunia, hilang upaya atau hilang, kami boleh menggunakan dokumen tersebut untuk memindah milik harta kepada penerima hibah.
Melalui pelantikan wasi pula, selepas pelanggan meninggal dunia dan proses probet serta pentadbiran pusaka selesai, Wasiyyah akan memastikan harta yang dihibahkan dipindah milik kepada penerima hibah sebagaimana yang dihasratkan dalam dokumen hibah.
Dalam kedua-dua keadaan tersebut, proses pengesahan hibah di Mahkamah Syariah tidak perlu dilalui kerana Perlembagaan memperuntukkan bahawa undang-undang sivil berkaitan Surat Kuasa Wakil dan pelantikan wasi di bawah Akta Probet dan Pentadbiran mempunyai bidang kuasa tersendiri.
Namun, jika itulah pendekatan yang diambil oleh Wasiyyah, undang-undang Syariah berkaitan hibah akhirnya hanya menjadi pelengkap tanpa memberikan peranan yang signifikan kepada umat Islam.
Apa berlaku jika waris membantah?
Apa pula yang akan berlaku sekiranya ada dalam kalangan waris membantah pelaksanaan Surat Kuasa Wakil dan pelantikan wasi tersebut, kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Syariah?
Dari sudut undang-undang, waris memang berhak berbuat demikian kerana perkara pokok (*subject matter*) dalam isu tersebut ialah hibah.
Saya mengetahui terdapat beberapa kes hibah seperti ini yang ditolak oleh Mahkamah Syariah kerana wujud elemen pelantikan pemegang amanah dalam dokumen hibah. Mahkamah Syariah amat sensitif terhadap bidang kuasanya.
Jika sesuatu dokumen hibah mengandungi elemen yang tidak selaras dengan bidang kuasa tersebut — misalnya pelantikan pemegang amanah yang berada di bawah bidang kuasa mahkamah sivil — hibah itu boleh ditolak.
Persoalan yang lebih besar ialah apabila hibah ditolak oleh Mahkamah Syariah, sedangkan Surat Kuasa Wakil atau pelantikan wasi telah pun dilaksanakan mengikut undang-undang sivil.
Apakah kedudukan sebenar penerima hibah dan waris-waris yang lain? Bukankah keadaan ini boleh mencetuskan konflik antara undang-undang Syariah dengan undang-undang sivil, sekali gus meletakkan waris dalam keadaan yang keliru?
Fikir-fikirkan. - DagangNews.com







