
Seorang remaja sepatutnya sibuk memikirkan peperiksaan, persahabatan dan masa depan. Namun, apabila usia masih muda dikaitkan dengan perbuatan membunuh, kita berdepan dengan sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar jenayah.
Ada nyawa terkorban, keluarga yang kehilangan insan tersayang, dan masyarakat tertanya-tanya: “Bagaimana seorang anak muda boleh sampai ke tahap meragut nyawa manusia lain? Di mana silapnya? Adakah kita hanya akan marah, menghukum dan melupakan, sebelum tragedi seterusnya berulang?”
Apabila remaja menjadi pelaku pembunuhan, kita bukan sahaja perlu menuntut keadilan untuk mangsa, tetapi juga berani meneliti faktor yang membentuk tingkah laku ganas itu sebelum semuanya terlambat.
Zaman remaja merupakan fasa perkembangan yang melibatkan perubahan fizikal, emosi, kognitif dan sosial. Keupayaan mengawal impuls, mempertimbangkan akibat jangka panjang, dan membuat keputusan ketika berhadapan dengan tekanan masih berkembang.
Dalam situasi konflik, penghinaan atau provokasi menyebabkan sesetengah remaja mungkin bertindak terburu-buru tanpa menilai akibat perbuatannya.
Namun, ketidakmatangan perkembangan bukan tiket untuk melakukan keganasan.
Dari sudut psikologi, Teori Pembelajaran Sosial Albert Bandura membantu kita memahami bagaimana tingkah laku boleh dipelajari melalui pemerhatian terhadap orang lain.
Kanak-kanak dan remaja bukan sahaja belajar daripada nasihat yang diberikan, tetapi juga daripada tindakan disaksikan setiap hari.
Jika kekerasan berulang kali dipaparkan sebagai cara menyelesaikan konflik, menunjukkan kekuatan atau mendapatkan penghormatan, sesetengah individu mungkin menganggap tingkah laku tersebut boleh diterima.
Bagaimanapun, pendedahan kepada keganasan tidak semestinya menghasilkan individu yang ganas.

Pengaruh ini bergantung pada pelbagai faktor, termasuk pengalaman, tafsiran individu dan akibat yang dilihat selepas sesuatu tindakan.
Persoalannya, siapakah model yang diperhatikan oleh remaja kita?
Keluarga merupakan antara persekitaran terawal yang membentuk pemahaman tentang kasih sayang, kemarahan dan batasan tingkah laku.
Konflik keluarga, penderaan atau pendedahan berulang kepada keganasan boleh meningkatkan risiko masalah tingkah laku bagi sesetengah remaja.
Namun, kita tidak boleh terus menyalahkan ibu bapa setiap kali seorang anak terlibat dalam jenayah.
Ramai ibu bapa berusaha sebaik mungkin, sedangkan tingkah laku seseorang turut dipengaruhi oleh pengalaman di luar rumah.
Yang penting, pastikan hubungan keluarga menyediakan ruang komunikasi, disiplin konsisten, dan contoh penyelesaian konflik tanpa kekerasan.
Teori Ekologi Bronfenbrenner pula menjelaskan bahawa perkembangan individu dipengaruhi oleh sistem persekitaran yang saling berkaitan.
Keluarga, sekolah dan rakan sebaya membentuk pengalaman harian remaja, manakala norma masyarakat serta budaya lebih luas turut mempengaruhi nilai serta tingkah laku mereka.
Dalam kumpulan rakan sebaya tertentu, tindakan agresif mungkin dianggap sebagai tanda keberanian atau cara mempertahankan maruah.
Ketakutan dipulaukan boleh mendorong seseorang mengikut tindakan kumpulan, walaupun mengetahui perbuatan itu salah.
Oleh itu, pencegahan keganasan tidak boleh diletakkan di bahu keluarga semata-mata. Sekolah, komuniti dan institusi sosial turut mempunyai tanggungjawab.
Kita juga perlu melihat bagaimana remaja menguruskan kemarahan, rasa malu dan penolakan.
Apabila seseorang mentafsir sesuatu tindakan sebagai penghinaan atau ancaman, emosinya boleh mempengaruhi cara dia bertindak balas.
Tanpa kemahiran regulasi emosi dan penyelesaian konflik, pertengkaran yang sepatutnya boleh ditangani melalui perbincangan mungkin bertukar menjadi pergaduhan.
Dalam sesetengah keadaan, keinginan membalas dendam atau mendapatkan semula rasa berkuasa boleh memburukkan keadaan.
Namun, kita tidak boleh membuat kesimpulan tentang motif atau keadaan psikologi seseorang pelaku tanpa maklumat dan penilaian mencukupi.
Media sosial turut menjadi sebahagian daripada persekitaran perkembangan remaja. Buli siber, penghinaan terbuka, dan kandungan yang mengagungkan keganasan boleh mempengaruhi persepsi mereka terhadap konflik.
Namun, teknologi bukan satu-satunya punca, dan tidak semua remaja terdedah kepada kandungan ganas akan menirunya.
Sebaliknya, literasi digital perlu disertai pendidikan empati, pemikiran kritis dan kesedaran bahawa tindakan di alam maya boleh membawa kesan sebenar terhadap kehidupan orang lain.
Justeru, tanda-tanda seperti ancaman berulang, tindakan mengasari orang lain dan kecenderungan menggunakan kekerasan perlu ditangani lebih awal.
Tanda tersebut tidak bermakna seseorang pasti akan melakukan pembunuhan, tetapi boleh menunjukkan keperluan untuk penilaian dan bantuan.
Keluarga dan sekolah perlu menyediakan saluran pelaporan yang selamat, manakala profesional kesihatan mental termasuk ahli psikologi klinikal dan kaunselor boleh membantu apabila diperlukan.
Pada masa sama, tindakan undang-undang dan perlindungan mangsa tetap penting. Memahami faktor psikologi bukan bermaksud membenarkan jenayah atau mengurangkan tanggungjawab pelaku.
Akhirnya, apabila hujan persoalan mengenai pembunuhan yang melibatkan remaja terus membasahi masyarakat, kita tidak boleh hanya mencari siapa patut dipersalahkan selepas tragedi berlaku.
Kita perlu bertanya apa yang boleh dilakukan sebelum nyawa melayang?
Tidak ada satu teori atau intervensi mampu menjelaskan dan mencegah semua kes, tetapi keluarga prihatin, sekolah yang peka dan masyarakat tidak menormalisasikan keganasan boleh membantu mengurangkan risiko.
Kita mungkin tidak mampu mengawal setiap pilihan seorang remaja, tetapi kita bertanggungjawab membina persekitaran yang mengajar mereka menguruskan konflik tanpa mencederakan orang lain.
Sebelum hujan menjadi ribut, jangan tunggu guruh menyedarkan kita bahawa ada sesuatu yang perlu diperbaiki.
Setiap tragedi seharusnya menjadi cermin untuk kita menilai semula cara kita membesarkan, mendidik dan memahami generasi muda.
—
Dr. Syarifah Maisarah Syed Alwi merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan Ahli Klinikal Psikologi Malaysia
The post Apabila kekerasan jadi bahasa remaja appeared first on Kosmo Online.


![[KEMAS KINI] Bapa sempat ‘video call’, minta anak-anak pulang sebelum meninggal](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/photo-output-25-1024x813.jpeg)


