
GEORGE TOWN : Arahan henti kerja dikeluarkan bagi projek pembinaan kondominium dan kerja-kerja pembinaan jalan di kawasan cerun berhampiran lokasi kejadian tanah runtuh yang mengorbankan seorang lelaki di Lebuh Rambai 13, Taman Seri Rambai, Paya Terubong, Air Itam, di sini hari ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran berkata, arahan itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, projek yang melibatkan pembinaan jalan dan kondominium itu sudah berjalan lebih setahun, manakala kerja-kerja penstabilan cerun turut dilaksanakan di kawasan berkenaan.
”Setakat ini, kita mencadangkan lima rumah yang dikenal pasti kurang selamat supaya penghuninya berpindah sementara bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
”Pejabat Tanah akan menguruskan perkara berkaitan penduduk yang perlu berpindah. Kita sudah menasihatkan mereka supaya keluar dari rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh berkata, penduduk yang tinggal berhampiran kawasan cerun dinasihatkan berpindah sementara sekurang-kurangnya untuk satu atau dua hari sehingga keadaan lebih selamat.
Katanya, langkah itu penting bagi mengutamakan keselamatan penduduk, khususnya ketika keadaan cuaca yang masih hujan dan keadaan cerun belum dapat dipastikan sepenuhnya.
Beliau berkata, arahan henti kerja dilaksanakan segera bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian tanah runtuh itu.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, kerja-kerja penstabilan cerun sedang dilaksanakan di kawasan berkenaan, namun sebahagian kerja itu masih belum siap ketika kejadian berlaku.
”Malangnya, bahagian yang belum siap itulah yang mengalami tanah runtuh. Siasatan lanjut dijalankan sebelum maklumat lebih terperinci dapat diberikan,”katanya.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan keselamatan penduduk di kawasan berhampiran, selain membolehkan pihak berkaitan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kejadian.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.36 pagi itu, Wong Kar Lin, 73, ditemukan terperangkap selepas tanah runtuh menjejaskan sebuah rumah di Lebuh Rambai 13. Mangsa yang merupakan seorang doktor dibawa keluar oleh anggota bomba kira-kira pukul 11.21 pagi.
Isteri mangsa, 68, dan seorang lagi anaknya, 35, bagaimanapun selamat selepas sempat keluar dari rumah berkenaan ketika kejadian berlaku. – UTUSAN
The post Arahan henti kerja projek kondominium, jalan susulan tanah runtuh appeared first on Utusan Malaysia.






