Pecca sasar peluang 42 set tren baharu KTMB selepas siap bekal komponen dua gerabak

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2026 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pecca sasar peluang 42 set tren baharu KTMB selepas siap bekal komponen dua gerabak Image from: Pecca sasar peluang 42 set tren baharu KTMB selepas siap bekal komponen dua gerabak sarah18/11/2026 - 18:10 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov - Pecca Group Berhad menyasarkan peluang perniagaan daripada rancangan kerajaan memperoleh 42 set tren baharu untuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di bawah Belanjawan 2027, selepas berjaya menyiapkan penghantaran komponen dalaman bagi dua gerabak kereta api kelas pertama.

 

Pengeluar komponen dalaman automotif itu kini sedang meneroka peluang tambahan dalam kerja membaik pulih dan pemasangan dalaman gerabak, seiring usaha memperluas perniagaan daripada industri automotif kepada sektor pengangkutan rel dan penerbangan.

 

Pengarah Eksekutif Pecca, Hugo Teoh Zi Yi berkata, kumpulan sedang memperluas keupayaan menghasilkan komponen dalaman dan pemasangan tempat duduk bagi memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam pelbagai sektor, termasuk program pemasangan kenderaan tempatan.

 

"Strategi Pecca adalah untuk mengembangkan perniagaan automotif kami di Malaysia sambil membuka lebih banyak peluang pertumbuhan. Kami menggunakan kepakaran dalam penghasilan komponen dalaman bagi memenuhi permintaan, daripada kabin pesawat dan gerabak kereta api hingga pasaran luar negara," katanya dalam kenyataan.

 

Projek PNG Air dan AirBorneo sokong pengembangan penerbangan

Dalam segmen penerbangan, Pecca memperoleh projek baharu dengan PNG Air, selain menyiapkan kerja membaik pulih tempat duduk pesawat AirBorneo dan pesawat pertama di bawah program pengubahsuaian kabin serta tempat duduk sebuah syarikat penerbangan utama di Indochina.

 

Kumpulan turut berusaha mendapatkan kelulusan organisasi reka bentuk (Design Organisation Approval atau DOA) selepas memperoleh kelulusan organisasi pengeluaran daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA), selain mendapatkan kelulusan berkaitan di Indonesia, Singapura dan Thailand.

 

Bagi menyokong pengembangan perniagaan automotif, penerbangan dan rel, Pecca sedang merancang pembangunan kilang baharu di Serendah, Selangor, yang disasarkan siap menjelang akhir 2027 bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran melebihi 300,000 set setahun di kemudahan sedia ada di Kepong.

 

Keuntungan suku pertama susut kepada RM11 juta

Dari segi prestasi kewangan, Pecca mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM11 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 (1QFY2027), berbanding RM15.4 juta setahun sebelumnya, manakala hasil menyusut kepada RM52.1 juta daripada RM60.6 juta, terutamanya akibat pengurangan tempahan segmen automotif, perubahan campuran produk dan peningkatan perbelanjaan operasi bagi pengembangan perniagaan.

 

Bagaimanapun, hasil segmen penerbangan melonjak 57.5% tahun ke tahun, manakala operasi Indonesia berkembang 51.1%, mencerminkan peningkatan sumbangan perniagaan antarabangsa ketika pasaran automotif domestik berdepan persaingan.

 

Pecca turut mengumumkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 1.5 sen sesaham bagi tahun kewangan 2027, dengan tarikh tanpa kelayakan dividen pada 4 Disember 2026 dan pembayaran dijadualkan pada 18 Disember 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved