Avillion laksanakan usaha pemulihan drastik selepas terjejas akibat Taufan Senyar di Port Dickson

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 3:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Avillion laksanakan usaha pemulihan drastik selepas terjejas akibat Taufan Senyar di Port Dickson Image from: Avillion laksanakan usaha pemulihan drastik selepas terjejas akibat Taufan Senyar di Port Dickson amree11/08/2026 - 15:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 OgosAvillion Berhad berada di persimpangan penting memulihkan kedudukan korporat setelah mengharungi tahun kewangan sukar, termasuk kesan kerosakan aset akibat Taufan Senyar.

 

Bencana alam di salah satu marinanya di Port Diskcon, Negeri Sembilan mengakibatkan kerugian bersih meningkat, namun pada masa yang sama, mereka giat melaksanakan pelan transformasi pemulihan aset.

 

Selain itu, ia berusaha melakukan rasionalisasi hartanah bukan strategik, dan pengukuhan modal bagi memastikan kelangsungan perniagaan berikutan kerugian selepas cukai mencecah RM14.9 juta pada FY26.

 

"Prestasi ini turut dipengaruhi penurunan marginal hasil kepada RM55 juta, ekoran permintaan lemah dan persaingan yang  sengit dalam divisyen hotel dan pelancongan," kata Avillion kepada Bursa Malaysia.

 

Isu utama keuntungan terjejas adalah caj kemerosotan nilai 'sekali sahaja' sebanyak RM4.9 juta akibat kerosakan struktur aset pontoon di operasi marina yang disebabkan oleh Taufan Senyar itu.

 

Bagaimanapun, jika item luar jangka ini dikecualikan, prestasi operasi asas kumpulan sebenarnya ada daya tahan dengan kerugian operasi mengecil RM2.1 juta berbanding pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Avillion_DagangNews2026

 

Sebagai langkah prospek masa hadapan, Avillion memberikan tumpuan penuh kepada pemulihan aset perhotelan utamanya menerusi program pengubahsuaian fasa pertama di Avillion Port Dickson Resort.

 

"Ia melibatkan komitmen RM4.0 juta bertujuan memodenkan kemudahan, meningkatkan pengalaman tetamu, dan seterusnya mengukuhkan kedudukan pasaran serta kadar penginapan hotel tersebut," jelasnya.

 

Bagi menyokong inisiatif strategik ini, kumpulan berjaya memulihkan kedudukan tunai melalui usaha pelaksanaan penempatan persendirian yang mengumpul dana ekuiti baharu dengan sejumlah RM11.3 juta.

 

Selain itu, Avillion menunjukkan disiplin kewangan ketat dan berjaya mengurangkan jumlah pinjaman keseluruhan kira-kira 12.9% kepada sebanyak RM67.4 juta melalui pembayaran balik berjadual.

 

Usaha berkenaan secara langsung sudah menambah baik nisbah hutang-kepada-ekuiti kumpulan tersebut daripada 0.68 kali kepada 0.64 kali, sekali gus memberikan fleksibiliti kewangan yang lebih kukuh.

 

"Strategi rasionalisasi aset juga menjadi keutamaan Lembaga Pengarah yang aktif menyemak peluang untuk melupuskan hartanah bukan teras dan rendah pulangan untuk dilaburkan semula," tambahnya.

 

Menghadapi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027, Avillion menzahirkan keyakinan terhadap prospek pemulihan industri pelancongan dan merancang mempercepatkan program komersial aset. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved