Southern Score Builders menang subkontrak pusat data RM146.5 juta 

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2026 • 5:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Southern Score Builders menang subkontrak pusat data RM146.5 juta  Image from: Southern Score Builders menang subkontrak pusat data RM146.5 juta  hamden06/08/2026 - 17:37 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Southern Score Builders Berhad (SSBB) menerusi anak syarikat milik 51%, SJEE Engineering Sdn. Bhd. (SJEE), memperoleh kontrak subkontrak bernilai RM146.5 juta bagi melaksanakan kerja-kerja Subcontract Works Electrical Package 3 Works (MV) untuk sebuah projek pusat data.

 

Kontrak itu diperoleh daripada sebuah syarikat pembinaan tempatan dan dijangka mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan dalam segmen mekanikal dan elektrikal (M&E), yang kini menjadi antara pemacu pertumbuhan utama syarikat.

 

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SSBB, Gan Yee Hin berkata, kontrak tersebut membolehkan kumpulan memulakan tahun kewangan 2027 (FY27) dengan momentum positif.

 

"Sepanjang 2026, kami telah memperoleh empat projek pusat data dengan nilai keseluruhan kira-kira RM383 juta, termasuk dua kontrak terbesar dalam sejarah bahagian M&E masing-masing bernilai RM150 juta dan RM146.5 juta.

 

"Pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam segmen pusat data serta mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan SJEE melaksanakan projek-projek berskala besar," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, sebelum kontrak terbaharu itu diperoleh, buku pesanan bahagian M&E telah pun berada pada paras tertinggi dalam sejarah syarikat.

 

Sehingga akhir Jun 2026, bahagian tersebut merekodkan buku tempahan bernilai RM339.2 juta, tidak termasuk kontrak baharu bernilai RM146.5 juta itu, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh bagi tahun-tahun akan datang.

 

Menurut Yee Hin, prospek industri pusat data di Malaysia kekal positif berikutan permintaan yang terus meningkat, selain saluran tender yang masih aktif.

 

"Permintaan struktur terhadap pembangunan pusat data di Malaysia masih kukuh dan kami melihat banyak peluang untuk meneruskan momentum pertumbuhan ini.

 

"Bagi menyokong perkembangan tersebut, kami telah menambah tenaga kerja dalam bahagian M&E dan akan terus memperkukuh pasukan bagi meningkatkan kapasiti serta merebut lebih banyak peluang pada masa hadapan," katanya.

 

Kontrak itu dijadualkan siap menjelang Januari 2028 dan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta keuntungan kumpulan bermula FY27 sehingga projek berkenaan disiapkan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved