amree10/09/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Sept — AWC Berhad berdepan cabaran untuk mengekalkan momentum pertumbuhan susulan kelemahan pasaran Timur Tengah akibat isu ketegangan geopolitik, menurut penganalisis.
Dua firma penyelidikan dalam nota masing-masing namun masih berpandangan positif terhadap prospek kumpulan itu, khususnya disokong peningkatan kontrak pusat data (DC) dan potensi tinggi di India.
Apex Securities berkata, syarikat berkenaan mempunyai kelebihan segmen kejuruteraan dan fasiliti untuk meraih kerja pembinaan khusus seperti sistem air sejuk, sanitari, paip, serta penyelenggaraan.
"Kontrak kemudahan Telekom Malaysia Berhad (TM) selama lima tahun bernilai RM99.1 juta menjadi bukti keupayaan AWC menjana pendapatan berulang, selain tender berkaitan DC," jelas firma itu.
Ia turut melihat peralihan kapasiti dari Timur Tengah ke India sebagai langkah strategik dan bukannya isu pengunduran kerana sebahagian besar pekerjanya memang berasal dari negara tersebut.
Situasi itu ujar Apex Securities, sekali gus membolehkan kumpulan memindahkan kapasiti dengan kos logistik yang rendah untuk mengejar peluang projek bandar pintar dan lapangan terbang di India.
Justeru, firma itu mengekalkan penarafan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.22 sesaham, dengan berdasarkan kaedah jumlah bahagian (SOTP) menilai setiap segmen AWC menggunakan gandaan berbeza.

"Kami namun mengingatkan risiko utama termasuk kelewatan kontrak India, pemulihan Timur Tengah yang lebih lambat, pembaharuan konsesi serta risiko pelaksanaan kontrak kerja DC," tambahnya.
Sementara itu, Malacca Securities pula melihat momentum tender DC semakin kukuh dengan jumlah tempahan terkumpul RM847.4 juta, termasuk rekod dalam subkontrak bagi segmen kejuruteraan.
Firma itu berkata pengurusan AWC menyasarkan penambahan tempahan tahunan RM120 juta bagi FY27 dan FY28, terutama daripada kerja paip serta sistem penyaman udara untuk pembangunan DC serantau.
Ujarnya, keterlihatan pendapatan turut kukuh menerusi perniagaan fasiliti dengan lanjutan konsesi penyelenggaraan kemudahan kerajaan yang dijangka mampu menyumbang kira-kira RM70 juta pada FY27.
Selain itu tambah Malacca Securities, perkhidmatan sokongan dan penyelenggaraan tiga kemudahan kesihatan utama pula diunjurkan dapat menjana lagi sebanyak RM50 juta hingga RM60 juta setahun.
"AWC sedang mengalihkan tumpuan pertumbuhan ke India susulan isu geopolitik di Timur Tengah, khususnya tender infrastruktur awam berkaitan bandar pintar dan lapangan terbang," jelasnya.
Sementara itu, peluang subkontrak sistem rel bagi projek LRT Pulau Pinang dijangka mula memberi sumbangan ketara mulai CY2027, dengan AWC kini mempunyai tempahan tertunggak rel RM72.1 juta.
Berikutan momentum kejuruteraan yang lebih kukuh, Malacca Securities menaikkan unjuran keuntungan selepas cukai (PAT) FY27 dan FY28 masing-masing 10.3% dan 5.8% kepada RM27.8 juta dan RM29.4 juta.
Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan TP lebih tinggi pada 65 sen daripada 59 sen, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan 10 kali dicairkan FY27 sebanyak 6.5 sen. - DagangNews.com






