Axiata dijangka sukar bayar dividen khas susulan penjualan aset EDOTCO - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 10:08 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Axiata dijangka sukar bayar dividen khas susulan penjualan aset EDOTCO - Penganalisis Image from: Axiata dijangka sukar bayar dividen khas susulan penjualan aset EDOTCO - Penganalisis sarah24/11/2026 - 10:08 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov - Axiata Group Berhad dijangka sukar mengagihkan dividen khas kepada pemegang saham susulan cadangan penjualan aset EDOTCO yang hanya dijangka menjana hasil kasar RM2.2 bilion, jauh lebih rendah daripada jangkaan awal RM5.3 bilion, menurut BIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil penjualan tersebut kira-kira 58% lebih rendah daripada anggaran awalnya berdasarkan pelupusan keseluruhan pegangan Axiata dalam EDOTCO, manakala sebahagian besar dana berkenaan akan digunakan untuk membayar hutang.

 

BIMB Securities turut menganggarkan sumbangan keuntungan berulang Axiata boleh berkurangan sebanyak RM108 juta selepas penstrukturan itu selesai, bersamaan 15% hingga 20% daripada anggaran keuntungan teras kumpulan.

 

Penjualan aset EDOTCO di bawah jangkaan

Firma penyelidikan itu berpandangan penstrukturan berkenaan tidak mungkin menjadi pemangkin utama kepada kenaikan harga saham Axiata dalam jangka pendek, meskipun membantu mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan.

 

Ini kerana Axiata tidak melepaskan keseluruhan kepentingannya dalam EDOTCO, sebaliknya mengekalkan pegangan efektif sebanyak 47.36% dalam operasi Malaysia bersama Khazanah Nasional Berhad.

 

Bagaimanapun, BIMB Securities menjangkakan Axiata mencatatkan keuntungan perakaunan sekali sahaja sekitar RM1.98 bilion daripada urus niaga tersebut, manakala pengurangan kos pembiayaan dapat mengimbangi sebahagian kehilangan sumbangan keuntungan EDOTCO.

 

Firma penyelidikan itu turut melihat potensi penyenaraian EDOTCO Malaysia menerusi tawaran awam permulaan (IPO) pada masa hadapan sebagai peluang untuk Axiata mendapatkan pulangan tambahan daripada pelaburannya.

 

Kedudukan hutang Axiata bertambah baik

Sementara itu, TA Research berpandangan positif terhadap cadangan penstrukturan tersebut kerana ia merupakan perkembangan penting dalam strategi Axiata28 untuk mengurangkan hutang dan menumpukan modal kepada perniagaan yang menawarkan pulangan jangka panjang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan nisbah hutang bersih kepada keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) Axiata turun daripada 2.5 kali kepada 1.9 kali, lebih rendah daripada sasaran pengurusan sebanyak dua kali.

 

TA Research turut menyifatkan penilaian aset EDOTCO sebagai menarik, iaitu pada gandaan 8.5 kali nilai perusahaan berbanding EBITDA, kira-kira 60% lebih tinggi daripada purata 5.3 kali bagi syarikat seumpamanya di rantau ini.

 

Terdahulu, DagangNews.com melaporkan Axiata bakal memperoleh hasil kasar RM2.22 bilion daripada penjualan sebahagian pegangannya dalam EDOTCO serta pelupusan operasi menara telekomunikasi di lima negara, dengan RM2.04 bilion diperuntukkan untuk pembayaran hutang.

 

BIMB Securities mengekalkan saranan 'beli' terhadap Axiata tetapi menurunkan harga sasaran sebanyak 35% kepada RM1.95 daripada RM3 sebelum ini, manakala TA Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM2.40.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved