sarah19/11/2026 - 09:09 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov - Kossan Rubber Industries Bhd dijangka memperkukuh keuntungan menerusi pengeluaran sarung tangan khusus dan produk bilik bersih (cleanroom) yang menawarkan margin lebih tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pemulihan keseluruhan industri sarung tangan yang masih berdepan masalah lebihan bekalan.
BIMB Securities Research berkata, tumpuan Kossan terhadap produk khusus yang memerlukan piawaian kelayakan ketat membolehkannya mengekalkan pelanggan lebih lama, selain mengurangkan tekanan persaingan harga berbanding sarung tangan biasa.
Menurut firma penyelidikan itu, kelebihan tersebut penting ketika industri sarung tangan global masih berdepan kapasiti pengeluaran berlebihan, manakala kenaikan kos tenaga dan persaingan harga dijangka terus memberi tekanan kepada margin keuntungan pengeluar.
Produk bernilai tinggi sokong pertumbuhan
BIMB Securities berkata, pertumbuhan keuntungan Kossan pada masa depan dijangka lebih banyak disumbangkan oleh keupayaan mengekalkan margin dan meningkatkan sumbangan produk bernilai tinggi, berbanding bergantung sepenuhnya kepada pemulihan permintaan industri.
Prestasi segmen bilik bersih menunjukkan perkembangan positif apabila hasil bagi sembilan bulan pertama 2026 meningkat 19.4% kepada RM90.2 juta, manakala keuntungan sebelum cukai bertambah 40.1% kepada RM13.8 juta.
Sementara itu, MBSB Research berkata, segmen getah teknikal Kossan turut menunjukkan peningkatan apabila keuntungan sebelum cukai bagi tempoh sama melonjak 46.4% kepada RM18.3 juta, disokong penghantaran produk bermargin tinggi yang lebih banyak.
Keuntungan suku ketiga melonjak
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, Kossan mencatatkan hasil RM671.1 juta, meningkat 52.9% berbanding RM439 juta setahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham melonjak 131.1% kepada RM87.4 juta daripada RM37.8 juta.
Prestasi itu disokong peningkatan jumlah jualan, harga jualan purata yang lebih tinggi dan kecekapan pengeluaran, dengan keuntungan teras bagi sembilan bulan pertama 2026 meningkat kepada RM186.8 juta. Bagaimanapun, BIMB Securities menjangkakan margin keuntungan mungkin kembali sederhana pada suku keempat apabila kesan positif harga jualan semakin berkurangan dan tekanan kos tenaga meningkat.
Dua firma kekal saran beli
Susulan keputusan lebih kukuh daripada jangkaan, MBSB Research menaikkan harga sasaran Kossan kepada RM1.88 daripada RM1.79, manakala BIMB Securities meningkatkan harga sasaran kepada RM1.43 daripada RM1.35. Kedua-duanya mengekalkan saranan 'beli', dengan MBSB Research menjangkakan pemulihan berterusan sehingga 2027, disokong kedudukan tunai bersih yang kukuh, kecekapan operasi dan pendedahan kepada produk sarung tangan bermargin tinggi. - DagangNews.com






