Kompleks komersial ikonik Maju Junction bernilai RM353.95 juta dilelong pada 20 Ogos 2026

30 Jul 2026 • 9:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kompleks komersial ikonik Maju Junction bernilai RM353.95 juta dilelong pada 20 Ogos 2026 Image from: Kompleks komersial ikonik Maju Junction bernilai RM353.95 juta dilelong pada 20 Ogos 2026 amree30/07/2026 - 09:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Julai — Kompleks komersial ikonik Maju Junction yang menjadi mercu tanda di persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tuanku Abdul Rahman bakal dilelong pada bulan depan.

 

Langkah terbaharu itu dinilai dengan harga rizab sebanyak RM353.95 juta, sekali gus menghidupkan semula perhatian terhadap isu pertikaian undang-undang yang sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

 

Sebanyak 38 petak strata meliputi ruang pejabat, lot komersial dan tempat letak kereta yang didaftarkan di bawah ASM Properties Sdn Bhd bakal dilelong menerusi platform e-Lelong pada 20 Ogos 2026.

 

Menurut proklamasi jualan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Malaya, pembida yang berjaya perlu membayar deposit 10% daripada harga rizab itu sebelum menjelaskan baki harga belian dalam tempoh 120 hari.

 

Proses lelongan tersebut dilakukan susulan prosiding pelaksanaan penghakiman yang melibatkan pihak Perwaja Terengganu Sdn Bhd sebagai plaintif dengan ASM Properties Sdn Bhd pula sebagai defendan.

 

Dokumen mahkamah berkenaan menunjukkan proses pelupusan tersebut dijalankan berdasarkan kepada Perintah Jualan yang bertarikh 20 Jun 2025 serta perintah mahkamah berikutnya pada 23 Jun 2026.

 

Maju Junction_DagangNews2026

 

Prosiding dimulakan di bawah Seksyen 256 dan 257 Kanun Tanah Negara 1965 serta Aturan 83 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, yang membolehkan aset dijual bagi melaksanakan penghakiman mahkamah itu.

 

Rekod mahkamah turut menunjukkan Perwaja Terengganu dan Maju Holdings Sdn Bhd sebelum ini terlibat dalam pertikaian berkaitan beberapa perjanjian dikaitkan dengan penswastaan Kumpulan Perwaja.

 

Pada 2019, Mahkamah Tinggi memutuskan memihak kepada Perwaja dan mengarahkan Maju Holdings membayar RM197 juta serta faedah sebelum rayuan syarikat itu ditolak Mahkamah Rayuan pada 2022.

 

Bagaimanapun, dokumen mahkamah yang dirujuk tidak mengesahkan sama ada prosiding terhadap ASM Properties sebagai ada kaitan secara langsung dengan keputusan mahkamah ke atas Maju Holdings.

 

Sementara itu, firma guaman Md Tajuddin & Co, yang mewakili Perwaja Terengganu, ketika dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai keputusan tersebut enggan mengulas. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved