Speedy Tigers tutup aksi kumpulan dengan kekalahan Belgium 5-3

20 Aug 2026 • 9:28 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Speedy Tigers tutup aksi kumpulan dengan kekalahan Belgium 5-3

PETALING JAYA: Speedy Tigers menamatkan kempen Kumpulan B Piala Dunia Hoki 2026 tanpa kemenangan selepas tewas 3-5 kepada Belgium dalam aksi terakhir di Brussels, awal pagi tadi.

Belgium yang menghuni ranking No.1 dunia terus menunjukkan kelasnya apabila Tom Boon membuka jaringan pada minit ke-16 sebelum pemain sama menggandakan kelebihan tiga minit kemudian untuk Malaysia ketinggalan 0-2.

Malaysia bagaimanapun bangkit selepas rehat apabila Nik Aiman Nik Rozemi menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-31, namun Boon sekali lagi menghukum benteng negara menerusi jaringan pada minit ke-35 untuk mengembalikan kelebihan dua gol.

Kapten negara Muhammad Marhan Jalil kemudiannya menyuntik semangat buat Speedy Tigers apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-37, tetapi Thibeau Stockbroekx kembali melebarkan jurang menerusi jaringan padang pada minit ke-43.

Boon kemudian melengkapkan malam gemilangnya apabila meledak gol keempat peribadi pada minit ke-52 untuk meletakkan Belgium di depan 5-2 sebelum Akhimullah Anuar Esook menjaringkan gol ketiga Malaysia tidak lama kemudian.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menamatkan Kumpulan B di tempat keempat dengan satu mata hasil keputusan seri 3-3 menentang Perancis, selain tewas 1-5 kepada Jerman dan 3-5 kepada Belgium, manakala Jerman muncul pendahulu kumpulan dengan tujuh mata diikuti Belgium enam mata dan Perancis dua mata.

Malaysia yang kini berada di ranking ke-13 dunia dengan 2,460.91 mata bagaimanapun masih meneruskan perjuangan pada pusingan seterusnya esok dengan Sepanyol atau Ireland menanti sebagai lawan sebelum bertemu Afrika Selatan dalam satu lagi perlawanan.

Speedy Tigers kini perlu segera memperkemaskan benteng selepas melepaskan 13 gol dalam tiga aksi kumpulan, namun masih mampu menjaringkan tujuh gol sebagai bekalan untuk meneruskan cabaran pada peringkat seterusnya.  – UTUSAN

The post Speedy Tigers tutup aksi kumpulan dengan kekalahan Belgium 5-3 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved