
PETALING JAYA: Speedy Tigers perlu mengekalkan aksi cemerlang ketika berdepan Belgium dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Dunia 2026, hari ini.
Kelmarin, anak buah Brendon Carolan melakar kejutan dalam aksi kedua Kumpulan B apabila mengikat juara Piala Negara-Negara 2026, Perancis 3-3.
Dalam aksi itu, Malaysia hampir melakar kemenangan, namun Perancis bangkit memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata dalam aksi yang berlangsung sengit.
Namun, Carolan mengingatkan pemainnya supaya tidak terlalu dibuai dengan prestasi positif berdepan Perancis kerana Belgium menanti sebagai ujian lebihgetir.
“Ya, saya rasa itulah hakikatnya. Anda bermain menentang pasukan yang berada dalam kedudukan lima terbaik di dunia. Kami hanya perlu menjadi lebih baik.
“Saya rasa, anda tidak boleh sekadar berpuas hati dengan prestasi yang baik hari ini (kelmarin) dan kemudian mengendurkan usaha dalam perlawanan seterusnya kerana anda boleh dibelasah teruk menentang pasukan yang sangat berkualiti seperti Belgium,” katanya.
Mengulas aksi menentang Perancis, Carolan menganggap keputusan 3-3 itu sebagai satu lagi petanda skuad negara semakin menghampiri tahap yang diperlukan bagi menghadapi cabaran lebih besar, khususnya menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
“Saya rasa ia adalah satu prestasi yang baik. Saya rasa Perancis telah memberikan saingan sengit kepada beberapa pasukan besar dan mereka hampir mencapai keputusan memberangsangkan menentang Belgium.
“Jadi bagi kami, dengan memikirkan tentang Sukan Asia, saya rasa kami semakin hampir ke tahap yang kami perlukan,” katanya.-UTUSAN
The post Carolan mahu Speedy Tigers kekal fokus appeared first on Utusan Malaysia.






