
KUALA LANGAT – Polis mengesan seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai ‘Balancing’ yang dipercayai mempunyai maklumat berkaitan kes bunuh pemilik kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kelambu, Banting, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, lelaki berkenaan dipercayai boleh membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Lelaki tersebut merupakan warga Indonesia yang dikenali sebagai ‘Balancing’ dan dipercayai mempunyai maklumat berkaitan kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki berkenaan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222.
Kosmo! semalam melaporkan Pertengkaran akibat kecurian peralatan pekebun dan buah kelapa sawit dipercayai menjadi punca seorang pemilik kebun mati dibunuh di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kelambu, Banting, Ahad lalu.
Mangsa dikatakan mengalami kecederaan dengan kesan koyakan di bahagian kepala dan susulan itu, lapan suspek lelaki berusia 20 hingga 70-an direman selama tujuh hari. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Balancing’ dicari bantu kes bunuh pemilik kebun appeared first on Kosmo Digital.





