
PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal menyusun semula barisan kejurulatihan beregu selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya yang bermula 23 September ini susulan pemergian ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto serta keperluan memperkemas struktur pembangunan pemain.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, proses itu masih di peringkat perbincangan dan akan dibawa kepada Jawatankuasa Prestasi serta Ahli Majlis BAM sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Beri saya sedikit masa kerana saya mahu menyusun semula pasukan jurulatih, tetapi mungkin selepas Sukan Asia kerana kami perlu berbincang dengan Majlis, Jawatankuasa, Rexy Mainaky dan Kenneth Jonassen.
“Kami juga mempunyai pemain junior berusia 13 dan 15 tahun yang akan menyertai skuad kebangsaan tahun depan, jadi kami mahu mencari jurulatih yang sesuai untuk menyertai BAM,” katanya kepada pemberita pada Majlis Memperkenalkan Trofi Kejohanan Badminton Piala Lee Chong Wei 2026, semalam.
Dalam pada itu Chong Wei berkata, perubahan itu turut mengambil kira kekosongan yang ditinggalkan Nova selepas bekas juara dunia dua kali itu kembali ke Indonesia untuk menerajui sektor beregu campuran negara berkenaan.
Menurutnya, BAM kini turut melihat keperluan menyusun semula peranan jurulatih sedia ada, termasuk membawa masuk bekas pemain kebangsaan Teo Kok Siang yang dijadual melapor diri pada 1 September.
“Bukan sekarang kita tahu semua perubahan itu kerana kita perlu duduk berbincang dengan Jawatankuasa serta dua ketua jurulatih, Rexy dan Jonassen.
“Semalam kami juga mengadakan pertemuan dengan semua jurulatih dan antara perkara yang ditekankan ialah disiplin pemain kerana jurulatih perlu lebih bekerjasama dalam memantau serta menyelesaikan masalah pemain,” katanya.
Sementara itu, Chong Wei menegaskan rombakan berkenaan bukan semata-mata disebabkan keputusan pemain di gelanggang, sebaliknya BAM mahu membina semula sistem kejurulatihan yang lebih tersusun termasuk aspek disiplin.
Katanya, barisan kejurulatihan perlu memainkan peranan lebih besar dalam memastikan pemain mematuhi peraturan kerana perubahan budaya dalam skuad kebangsaan tidak boleh berlaku dalam tempoh singkat.
“Ini bukan kerja satu atau dua hari, satu atau dua bulan, tetapi kita perlu buat sedikit demi sedikit untuk mengembalikan disiplin dan keadaan yang terbaik untuk BAM.
“Bagi saya, jurulatih sangat penting kerana saya seorang tidak boleh menjaga semua perkara dan mereka perlu bekerjasama dengan saya untuk membantu pemain,” katanya.
Jawatankuasa Prestasi BAM akan mengadakan mesyuarat pada Jumaat ini bagi membincangkan struktur kejurulatihan sebelum cadangan berkenaan dibawa kepada Ahli Majlis BAM untuk keputusan lanjut. – UTUSAN
The post BAM rombak barisan jurulatih selepas Sukan Asia appeared first on Utusan Malaysia.





