
NEW YORK: Dua bangunan mewah dikhuatiri boleh runtuh selepas sebuah bangunan pencakar langit di Midtown, New York roboh.
Pada 7 Julai lalu, sekumpulan pekerja binaan yang berada di bekas ibu pejabat gergasi farmasi, Pfizer gempar apabila dua tiang penyokong di bangunan pejabat 37 tingkat yang terletak di 235 East 42nd Street itu ‘membengkok’ secara mendadak.
Tingkat 21 hingga 26 bangunan berhampiran Grand Central Terminal di Manhattan itu runtuh akibat tekanan pada struktur bangunan, manakala beberapa rekahan dan lantai yang melendut turut ditemui di seluruh bangunan pencakar langit tersebut.
Meskipun kebimbangan berhubung risiko runtuhan serta-merta semakin reda selepas pasukan penyelenggara bergegas menstabilkan struktur berkenaan, timbul persoalan berhubung sejauh mana bangunan tinggi lain di New York turut menyembunyikan kecacatan struktur serius yang berpotensi membahayakan nyawa penghuni dan pejalan kaki.
Sebuah lagi bangunan pencakar langit 96 tingkat di kawasan kejiranan golongan elit New York dikhuatiri mula merekah berikutan ayunan kuat ketika angin kencang, sekali gus mengheret penghuninya ke dalam kancah tindakan undang-undang menentang syarikat pembina yang didakwa menyembunyikan kecacatan kritikal tersebut.
Pihak berkuasa tempatan bagaimanapun berkeras mempertahankan bahawa bangunan itu masih selamat.
Dalam pada itu, sebuah projek pencakar langit 60 tingkat yang menghadap pusat kewangan di New York kini terbengkalai separa siap berikutan strukturnya semakin mendap dan senget ke satu sisi.
Menara senget berkenaan turut mencetuskan tuntutan mahkamah berasingan apabila pihak kontraktor mendakwa bangunan itu terlalu berbahaya untuk disiapkan, selain menyalahkan pemaju kerana mengambil jalan pintas kos murah hingga mengakibatkan isu yang berpotensi membawa bencana.
Meskipun pegawai bandar raya New York menegaskan keadaan masih terkawal buat masa ini, ia mungkin hanya menunggu masa sebelum bangunan-bangunan terbesar di bandar itu mencetuskan lebih banyak arahan pemindahan beramai-ramai seperti yang berlaku pada struktur reput di 42nd Street itu. – AGENSI
The post Bangunan pencakar langit di New York berisiko runtuh tanpa amaran appeared first on Utusan Malaysia.






