Banjir Nepal: ‘Sudah 25 hari, Zaki pulanglah’

18 Sep 2026 • 11:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Banjir Nepal: ‘Sudah 25 hari, Zaki pulanglah’

GEORGE TOWN – “Kami tidak putus berdoa, semoga dipertemukan dengannya semula.”

Itu harapan keluarga Muhammad Zaki Othman, 29, yang masih menanti kepulangan pemuda berkenaan bersama dua rakannya, Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, dan Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27,selepas mereka dilaporkan hilang akibat banjir besar di Nepal, 26 Ogos lalu.

Menerusi perkongsian status WhatsApp kakak Muhammad Zaki, keluarganya terus memanjatkan doa agar ketiga-tiga sahabat itu ditemukan dalam keadaan selamat dan dapat kembali ke pangkuan mereka.

“Kami sentiasa mendoakanmu. Pulanglah ke rumah,” tulisnya dalam perkongsian berkenaan yang turut memuatkan gambar Muhammad Zaki bersama dua rakannya.

Hari ini, sudah 25 hari keluarga menanti khabar mengenai nasib ketiga-tiga mereka selepas terputus hubungan. Namun, dikatakan masih tiada sebarang berita terkini mengenai keberadaan mereka.

Dalam perkongsian lain, kakak Muhammad Zaki turut memuatkan poster yang mengandungi doa agar adiknya dilindungi Allah, dipermudahkan segala urusan dan dipertemukan semula dengan keluarga.

Muhammad Zaki bersama Muhammad Muhaimin dan Muhammad Adib dilaporkan gagal dihubungi ketika melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley, Nepal, lebih tiga minggu lalu.

Ketiga-tiga mereka dipercayai berada di kawasan berkenaan ketika banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan firasat bapa pendaki Malaysia, Muhammad Zaki kuat mengatakan yang anak kesayanganya itu masih berada di puncak gunung Nepal bersama dua rakan baiknya, namun mereka cuma terputus komunikasi. -KOSMO! ONLINE

The post Banjir Nepal: ‘Sudah 25 hari, Zaki pulanglah’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved