Bantuan SARA : Kerajaan Tidak Kompromi Terhadap Peniaga Yang Naikkan Harga Barang

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2025 • 12:34 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Kerajaan Malaysia menegaskan pendiriannya untuk tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menjejaskan manfaat inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menyatakan bahawa beliau mengambil maklum akan dakwaan yang tular di media sosial mengenai segelintir peniaga yang menaikkan harga barangan dan beliau memberi amaran bahawa siasatan dan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh diambil sekiranya perkara ini berlaku.

image is not available

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), Kerajaan akan menyiasat setiap aduan dan pada masa yang sama, menghargai inisiatif pasar raya serta kedai runcit yang menawarkan harga istimewa kepada penerima manfaat SARA.

image is not available

Dalam pada itu, orang ramai digalakkan untuk membuat aduan rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membolehkan siasatan segera dijalankan. Aduan boleh dibuat melalui portal e-Aduan KPDN, talian WhatsApp 019-848 8000, atau talian utama 1-800-886-800.

Perkembangan Terkini Pelaksanaan SARA

Selain itu, MOF turut memaklumkan bahawa pada hari kelapan pelaksanaan SARA, jumlah jualan telah mencapai RM102.5 juta, melibatkan 1.7 juta penerima sehingga 9.30 malam. Kadar transaksi berjaya kekal stabil pada 99.9 peratus selama dua hari berturut-turut, hasil daripada usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem.

Secara keseluruhannya, sejak dilaksanakan pada 31 Ogos, inisiatif ini telah memberi manfaat kepada lebih 11.8 juta rakyat yang menggunakan kredit SARA dan SARA bulanan untuk membeli barangan keperluan asas. Jumlah perbelanjaan bagi inisiatif ini mencecah RM745.7 juta di seluruh negara.

Sumber:

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.