
BATU PAHAT – Hati seorang bapa luluh apabila melihat empat anaknya bergelimpangan dalam keadaan cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Johor Bahru-Melaka, Bagan, di sini malam tadi.
Noorwandi A. Rahim, 41, tidak mampu menahan sebak apabila salah seorang anaknya disahkan meninggal dunia dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu.
Menurutnya, dia menerima panggilan daripada adiknya yang memaklumkan kereta dinaiki anak-anaknya, adik perempuan dan adik iparnya terbabit dalam kemalangan.
“Ketika itu, saya dan isteri, Norfarahin Mohammad, 38, baru tiba di rumah selepas keluar makan malam di sebuah pusat beli-belah. Saya dan isteri menaiki motosikal, manakala anak-anak menaiki kereta yang dipandu adik ipar.
“Sebaik tiba di lokasi, saya melihat anak-anak bergelimpangan. Anak saya, Putera Muhaimin Qudrat Mohd Noor Wandi, 16, pula tertiarap dengan mukanya dipenuhi pasir dan petrol,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini hari ini.
Beliau berkata, dia dan isterinya segera mendapatkan anak-anak mereka yang cedera, manakala adik iparnya, Nor Azlan Shaharudin, 27, tersepit di tempat duduk pemandu.
Katanya, dia sempat membaringkan anaknya yang berusia 16 tahun itu, namun mangsa hanya menunjukkan tindak balas sekali sebelum tidak bergerak.
“Pasukan perubatan cuba memberikan bantuan, tetapi anak saya disahkan meninggal dunia,” katanya.
Menurut Noorwandi, anak bongsunya, Putera Aidin Firdaus, tiga tahun, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan akibat pendarahan di kepala serta patah kedua-dua tangan, kaki dan bahu.
Katanya, seorang lagi anaknya, Puteri Nur Fairuza Balqis, 15, mengalami patah paha, kecederaan di dada dan sedikit pendarahan di kepala.
“Seorang lagi anak saya, Putera Khairunas, 11, mengalami luka ringan dan keadaannya stabil,” katanya.
Beliau berkata, adiknya, Rahmah A Rahim, 26, yang juga isteri kepada Nor Azlan, turut cedera dalam kejadian itu dan kini berada dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke wad.
Menurutnya, Rahmah memaklumkan kereta dinaiki mereka dipercayai dilanggar dari belakang sebelum terbabas, melanggar jambatan dan sebuah kereta di bengkel, kemudian tersandar pada sebatang pokok kelapa. – KOSMO! ONLINE
The post Bapa luluh tengok empat anak bergelimpangan, seorang maut appeared first on Kosmo Online.





