hamden10/11/2026 - 14:21 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov - Sebanyak 60% daripada keseluruhan unit pembangunan kediaman mewah MAIA Mont' Kiara bernilai RM1.17 bilion telah berjaya dijual sejak pelancaran awal projek tersebut pada penghujung Ogos 2026.
Sambutan memberangsangkan projek pembangunan oleh UEM Sunrise Berhad itu mencerminkan permintaan berterusan terhadap pembangunan kediaman di lokasi strategik dan matang.
Menurut UEM Sunrise, MAIA menarik minat pelbagai kumpulan pembeli termasuk pelanggan sedia ada UEM Sunrise menerusi program kesetiaan Trésor, pembeli yang ingin menaik taraf kediaman, golongan yang anak-anaknya sudah dewasa dan tinggal berasingan, ekspatriat serta pelabur berpengalaman.
"Daya tarikan pembangunan itu disokong susun atur kediaman yang luas, penekanan terhadap privasi, ruang kediaman fleksibel serta lokasi Mont'Kiara yang menjadi pilihan ramai," menurut Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Shaharul Farez Hassan.
Beliau menambah, pembangunan hartanah kekal sebagai teras perniagaan syarikat, disokong pengalaman berdekad-dekad, keupayaan pembangunan yang terbukti serta pemahaman mendalam terhadap pasaran.
"MAIA merupakan pembangunan mercu tanda yang mencerminkan ciri-ciri yang ingin diterapkan dalam lebih banyak projek kediaman masa hadapan, termasuk ruang kediaman luas, persekitaran berinspirasikan alam semula jadi dan reka bentuk berteraskan komuniti yang memenuhi keperluan pelbagai generasi serta gaya hidup yang berubah.

"Prinsip ini akan terus kami terapkan ketika memperkukuh kehadiran di Mont'Kiara dan membentuk generasi baharu pembangunan kediaman UEM Sunrise.
"Mont'Kiara kekal sebagai lokasi kediaman menarik, disokong komuniti yang dinamik, kemudahan perhubungan serta pelbagai kemudahan gaya hidup," katanya pada majlis previu medi di sini hari ini.
Beliau berkata, sambutan menggalakkan terhadap MAIA mengukuhkan keyakinan syarikat bahawa pembangunan yang dirancang berdasarkan pemahaman terhadap keutamaan pembeli rumah akan mendapat sambutan pasaran.
Banglo di 'udara', hanya enam unit satu tingkat
MAIA dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas kira-kira 5.016 ekar di sepanjang Jalan Bayu Kiara, dalam kawasan tanah tinggi yang terpencil dan tenang di Mont'Kiara, bersebelahan satu lagi pembangunan kediaman mewah pegangan bebas UEM Sunrise, The MINH.
Projek itu merangkumi 495 unit kediaman berkonsepkan banglo menerusi dua menara setinggi 45 tingkat, dengan harga bermula RM1.54 juta seunit.

Ia menawarkan tujuh pilihan susun atur berkeluasan antara 1,485 kaki persegi hingga 2,982 kaki persegi bagi memenuhi pelbagai gaya hidup dan keperluan isi rumah.
Dengan penekanan terhadap keluasan ruang, privasi dan fleksibiliti, setiap tingkat menempatkan enam unit kediaman, selain dilengkapi balkoni luas serta ruang parkir tambahan bersaiz besar.
Susun atur terpilih turut menyediakan ruang legar lif peribadi dan dua suite utama, manakala ruang lanai fleksibel membolehkan pemilik memperluas ruang kediaman atau mewujudkan bilik tambahan mengikut keperluan masing-masing.
Bukan sekadar lokasi tetapi pelengkap gaya hidup
Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise, Emily Teh berkata, pembeli rumah kini semakin teliti dalam membuat pilihan kediaman dan tidak lagi hanya melihat faktor lokasi serta keluasan binaan.
Sebaliknya, mereka turut menitikberatkan sejauh mana sesebuah kediaman dapat melengkapi gaya hidup dan menyesuaikan diri dengan keperluan yang berubah dari semasa ke semasa.

"Melalui MAIA, kami berusaha memperkenalkan pengalaman kediaman berinspirasikan resort yang menggabungkan pertimbangan berkenaan menerusi ruang kediaman fleksibel, kemudahan yang dirancang dengan teliti serta persekitaran yang menggalakkan pembentukan semangat komuniti.
"Sambutan awal yang menggalakkan memberikan keyakinan kepada kami bahawa pendekatan ini memenuhi keperluan pembeli rumah di Mont'Kiara," katanya.
Kira-kira 42% daripada kawasan pembangunan diperuntukkan untuk kawasan landskap dan kemudahan gaya hidup, melengkapi kedudukannya di kawasan tanah tinggi serta persekitaran berinspirasikan alam semula jadi.
Pembangunan itu turut menerima pensijilan sementara GreenRE Gold, dengan ciri kelestarian termasuk sistem penuaian air hujan dan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik.
MAIA dijangka siap pada separuh pertama 2031.

Jejak UEM Sunrise di Mont' Kiara
UEM Sunrise mempunyai sejarah pembangunan di Mont' Kiara sejak 1993 apabila syarikat pendahulunya, Sunrise Berhad, membangunkan Mont'Kiara Pines.
Sejak itu, syarikat meneruskan legasi berkenaan menerusi pelbagai pembangunan kediaman dan bersepadu termasuk 28 Mont'Kiara, Arcoris, Residensi 22, Astrea, Allevia serta projek terbaharu The MINH yang telah habis dijual.
Selain perniagaan pembangunan kediaman, UEM Sunrise turut meneruskan usaha meneroka peluang dalam portfolio komersial, perindustrian dan antarabangsa.
Di Johor, syarikat berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan susulan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), berikutan kehadirannya yang sekian lama di Iskandar Puteri.
Menerusi pengagihan modal secara berdisiplin, pengoptimuman portfolio dan kerjasama strategik, UEM Sunrise kekal memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh asas perniagaan serta menjana nilai pemegang saham mampan dalam jangka panjang. - DagangNews.com




