Bekas pekerja kilang mengaku bersalah cekik rakan sekerja main telefon

20 Aug 2026 • 1:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bekas pekerja kilang mengaku bersalah cekik rakan sekerja main telefon
Siti Fadzhlina (kanan) mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencekik rakan sekerjanya pada Julai lalu.

BALIK PULAU- Seorang bekas pekerja kilang mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencekik rakan sekerjanya pada Julai lalu.

Tertuduh, Siti Fadzhlina Bazheer Ahamed, 42, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Chia Huey Ting di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Susulan daripada pengakuan tertuduh yang kini tidak bekerja, Huey Ting menjatuhkan hukuman denda RM500 dan jika gagal bayar, tertuduh boleh dipenjara selama 14 hari.

Mengikut pertuduhan, Siti Fadzhlina didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan ke atas seorang wanita, Anis Fari Syuhail Johari, 30, dengan cara mencekik di bahagian lehernya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di dalam Kilang Abbott Medical Device Sdn Bhd, Hala Kampung Jawa, Bayan Lepas pada jam 12.30 tengah hari, 26 Julai lalu.

Oleh demikian, dia didapati melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum, di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Yiew De Xian manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sofi Jaafar.

Dalam rayuannya, De Xian memohon hukuman minimum berikutan tertuduh dibuang kerja selepas kejadian berkenaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh melakukan kesalahan itu iaitu mencekik mangsa berikutan mendapati mangsa tidak menjalankan kerja dengan betul dan hanya bermain telefon bimbitnya.

Susulan daripada tindakan mangsa, ia melambatkan kerja di bahagian tempat mereka bekerja di kilang berkenaan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Huey Ting menasihatkan tertuduh agar tidak lagi melakukan kesalahan itu kerana ia boleh menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku.

"Kenapa kamu cekik mangsa? Nasib baik dia tak mati, kalau dia mati, kamu akan dituduh membunuh.

"Kamu sepatutnya melaporkan kelakuan mangsa kepada ketua kamu, bukannya melakukan tindakan sedemikian (mencekik)," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved