
PETALING JAYA: Sebuah syarikat penyelesaian telekomunikasi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan termasuk memiliki dan menyediakan perkhidmatan rangkaian tanpa lesen sah, tahun lalu.
Bagaimanapun, Aircom Telecommunication Sdn. Bhd. yang diwakili pengarahnya, Foo Loke Hin, 57, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadap syarikat itu dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa memiliki kemudahan rangkaian tanpa Lesen Individu Pemberi Kemudahan Rangkaian [NFP (I)] yang sah mengikut Seksyen 126(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Bagi pertuduhan kedua, syarikat sama didakwa memberikan perkhidmatan rangkaian tanpa Lesen Individu Pemberi Perkhidmatan Rangkaian [NSP (I)] yang sah mengikut Seksyen 126(1)(b) akta sama.
Kedua-dua kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 126(2) akta berkenaan yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kesalahan itu juga boleh dikenakan denda tambahan RM100,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan tersebut berterusan selepas sabitan.
Bagi pertuduhan ketiga, Aircom Telecommunication didakwa memiliki sistem yang direka bentuk untuk memperoleh secara penipuan (fraud) perkhidmatan rangkaian jalur lebar, Unlimited Home Fibre, Aircom Fibre.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 232(2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini, pada 16 Oktober 2025.
Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan pertuduhan dikenakan terhadap syarikat.
Peguam bela, Muhammad Khairul Bakhri Batiar dan Nor Amyra Zamani yang mewakili Aircom Telecommunication turut mengesahkan perkara tersebut.
Sementara itu, di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd. Nor, Foo dan isterinya, Thong Wei Mei, 54, turut mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berhubung perbuatan sama di tempat dan tarikh serupa.
Mengikut dua pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa dengan niat bersama memiliki kemudahan serta memberikan perkhidmatan rangkaian tanpa lesen NFP (I) dan NSP (I) yang sah.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 126(1)(a) dan Seksyen 126(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 126(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pasangan itu turut didakwa dengan niat bersama memiliki sistem yang direka bentuk untuk memperoleh secara fraud perkhidmatan rangkaian jalur lebar Unlimited Home Fibre Aircom Fibre mengikut Seksyen 232(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan itu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh untuk kesemua pertuduhan selain syarat tambahan supaya mereka melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Turut dimohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen yang mendengar pertuduhan terhadap Foo sebelum ini untuk dibicarakan bersama kerana melibatkan siasatan, saksi dan eksibit yang sama.
Bagaimanapun, Muhammad Khairul Bakhri memohon jaminan lebih rendah sekitar RM15,000 dengan alasan kedua-dua tertuduh menanggung dua anak dan seorang daripadanya masih menuntut di universiti.
Menurut peguam itu, pasangan berkenaan juga memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan selain hadir dari Ipoh, Perak untuk menghadapi pertuduhan hari ini.
Hakim Noor Ruzilawati kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM60,000 secara global bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 5 Oktober ini. – UTUSAN
The post Syarikat telekomunikasi didakwa miliki perkhidmatan rangkaian tanpa lesen appeared first on Utusan Malaysia.






