sarah09/10/2026 - 16:17 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt -- Kerajaan bersetuju menyediakan tanah strategik seluas 50 ekar di sekitar Kuala Lumpur, bernilai RM1 bilion, sebagai endowmen baharu kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra bagi memperkasa pemilikan dan ekonomi Bumiputera.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanah berkenaan dicadangkan untuk dibangunkan oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB), dengan mengambil kira keperluan perumahan mampu milik serta kepentingan Bumiputera.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen.
Anwar berkata, kerajaan turut mewartakan 50 ekar tanah di Kuala Lumpur sebagai Tanah Rizab Melayu, dengan PETRONAS kini memulakan pembangunan di kawasan seluas 10 ekar pertama bagi menyediakan perumahan mampu milik.
Selain itu, kerajaan bersetuju supaya tanah kerajaan hampir 11 ekar di Belfield, Kuala Lumpur dibangunkan bagi membina sekurang-kurangnya 2,500 unit Rumah MADANI, dengan 70% daripadanya dikhususkan untuk Bumiputera.
Beliau berkata kerajaan akan terus memperkasa ekonomi Bumiputera menerusi pendekatan terangkum di bawah agenda PuTERA35.
Anwar berkata, endowmen pertama kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra berjumlah RM200 juta disediakan pada 1978, manakala tiada endowmen susulan diberikan sejak 1981. - DagangNews.com






