sarah12/10/2026 - 17:34 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Okt - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan mengadakan latihan kecemasan aerodrom berskala penuh, Ex Perisai Panthera 2026, di Landasan 2 pada 14 Oktober ini dari 8 pagi hingga 2 petang.
KLIA dalam kenyataan memaklumkan latihan itu bertujuan menguji kesiapsiagaan menghadapi kecemasan, termasuk keupayaan tindak balas, pematuhan tempoh masa ditetapkan serta koordinasi antara pasukan terlibat.
Latihan berkenaan akan dilaksanakan bersama agensi keselamatan dan kecemasan negara serta rakan strategik, selaras dengan Pelan Kecemasan Aerodrom KUL (KUL AEP) dan piawaian keselamatan penerbangan antarabangsa.
Menurut KLIA, latihan itu melibatkan penggunaan jentera bomba, helikopter, asap simulasi dan siren bagi menguji keberkesanan prosedur kecemasan.
Aktiviti berkenaan mungkin dapat dilihat atau didengar dari kawasan sekitar Anjung Spotter dan Jalan Pekeliling.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan supaya tidak bimbang kerana semua pergerakan dan aktiviti terbabit telah dirancang serta dikawal sebagai sebahagian daripada latihan.
KLIA turut memaklumkan operasi penerbangan di Terminal 1 dan Terminal 2 dijangka berjalan seperti biasa sepanjang latihan berlangsung.
Sebarang perkembangan berkaitan operasi lapangan terbang akan dimaklumkan melalui saluran media sosial rasmi KLIA. - DagangNews.com






