
GUA MUSANG - Seorang wanita tidak menyangka gelang emas yang dibelinya kira-kira 20 tahun lalu dengan harga RM2,000 kini memberikan pulangan hampir RM18,000 selepas dijual baru-baru ini.
Hasnah Deraman, 54, berkata pembelian gelang tangan seberat 35 gram itu dibuat sebagai simpanan jangka panjang, selain memastikan wang dimilikinya tidak mudah dibelanjakan.
Menurutnya, kenaikan harga emas memberikan keuntungan hampir RM16,000 berbanding harga ketika dibelinya.
“Saya membeli gelang emas dengan harga kira-kira RM2,000 dan berat 35 gram, sekitar 20 tahun lalu. Ketika itu, harga semasa emas kurang daripada RM100 segram.
“Apabila saya menjual gelang itu semalam, harga semasa emas ialah RM549 segram. Saya tidak menyangka nilainya kini mencecah RM17,900,” katanya kepada Kosmo!.
Hasnah berkata pengalaman itu membuktikan pembelian emas boleh menjadi antara pilihan bagi mereka yang mahu membina simpanan untuk kegunaan pada masa hadapan.
Katanya, wanita juga boleh mula membeli emas mengikut kemampuan masing-masing walaupun dalam jumlah kecil.
“Amalan membeli emas menjadi satu bentuk pelaburan untuk digunakan ketika menghadapi kecemasan atau kesukaran pada masa depan.
“Tidak perlu menunggu sehingga mempunyai banyak wang, sebaliknya mulakan dengan apa yang ada dan jadikannya sebagai simpanan jangka panjang berbanding menyimpan wang tunai,” katanya. - Getaran, 12 September 2026






