
ISKANDAR PUTERI – Tindakan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian SILC di sini yang didakwa memasang bendera Johor dan Jalur Gemilang secara terbalik mencetuskan rasa kurang senang, terutama ketika negara bakal menyambut Hari Kebangsaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad menyifatkan perbuatan itu sebagai sangat biadap dan tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan mana-mana pihak yang berada di negara ini.
Beliau berkata, pihak berkuasa khususnya Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan polis perlu mengambil tindakan tegas sekiranya siasatan mendapati pemasangan bendera berkenaan dilakukan dengan sengaja.
“Saya menerima aduan mengenai sebuah kilang di Kawasan SILC, Iskandar Puteri yang memasang bendera secara terbalik.
“Sikap ini sangat kurang ajar dan tidak berprinsip. Saya menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap isu ini,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Pandak berkata, perkara membabitkan Jalur Gemilang dan bendera Johor tidak boleh dipandang ringan kerana kedua-duanya melambangkan maruah, kedaulatan serta identiti negara dan negeri.
Menurutnya, perkara itu lebih mengecewakan apabila berlaku ketika sambutan Bulan Kebangsaan sedang berlangsung dan rakyat giat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan kepada negara.
“Negara kita sudah merdeka hampir 69 tahun, tetapi masih ada pihak yang dilihat sengaja mengeruhkan keadaan dan tidak mempunyai semangat patriotik.
“Kalau benar ia dilakukan dengan sengaja, ini bukan lagi soal tersilap memasang bendera, tetapi soal menghormati negara dan negeri tempat kita mencari rezeki,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihak pengurusan kilang perlu memberi perhatian serius terhadap perkara tersebut dan memastikan semua bendera dipasang mengikut kedudukan yang betul.
Katanya, tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, selain menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya sentiasa menghormati simbol negara dan negeri.
Bagaimanapun, dakwaan berhubung pemasangan bendera secara sengaja itu masih perlu disahkan melalui siasatan pihak berkuasa.
The post Bendera Johor, Jalur Gemilang dipasang terbalik, ADUN Kota Iskandar gesa tindakan tegas appeared first on MYBERITA.






