Berbasikal BMX: Selangor raih empat pingat

21 Aug 2026 • 8:44 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Berbasikal BMX: Selangor raih empat pingat

PETALING JAYA, 21 OGOS: Selepas mendominasi acara berbasikal BMX flatland pagi tadi, Selangor meneruskan penguasaan dalam acara park apabila memungut empat pingat lagi menerusi kategori park lelaki dan wanita di Arena Skatepark MBPJ, Petaling Jaya, petang tadi.

Pasangan adik-beradik Nia Nur Aidryana Mohd Nor Aszeril dan Nur Airen Sofea Mohd Nor Aszeril terlebih dahulu menggegar podium apabila mengungguli saingan park wanita dengan masing-masing menggondol pingat emas dan perak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 kali ini.

Pada aksi final itu, Nia Nur Aidryana yang lebih mesra dipanggil Nia berjaya mengutip 77.33 mata mengatasi kakaknya, Nur Airen Sofea yang mengutip 67.33 mata dan wakil Sarawak, Airis Nabihah Rais di tempat ketiga dengan 60.33 mata.

Pada acara BMX park lelaki pula, Muhammad Khaidir Idzham Abdul Haqq meraih pingat emas apabila mengutip 92.33 mata dan Ziyad Razzidin Mohd Zainurdin dengan 91.55 mata untuk berada di tempat kedua. Manakala, wakil Pulau Pinang, Randy Zulkarnain Mohd Zainurdin di tempat ketiga dengan 72.35.

Biarpun turun tanpa sebarang sasaran medal, Nia berkata dia tidak menyangka percubaan kali pertama di SUKMA menghasilkan pingat

"Rasa sangat seronok dan bangga dengan pencapaian diri sendiri. Segala usaha dan latihan selama ini tidak sia-sia.

"Sebelum masuk (SUKMA), tak ada sasaran pingat, tapi kemudian rasa nak cuba dapatkan juga (pingat)," katanya kepada Media Selangor.

Untuk rekod, Nia dan kakaknya, Nur Airen masing-masing mengutip satu emas dan satu perak dalam acara berbasikal BMX flatland dan park.

Sementara itu, Muhammad Khaidir berkata, disiplin dan mengelak daripada melakukan kesilapan antara kunci kemenangannya hari ini.

"Apa yang saya fikir ketika itu adalah kekal konsisten dengan semua latihan dan perancangan bersama jurulatih. Kekal disiplin dan jangan jatuh, konsistensi adalah kunci utama kejayaan hari ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih Selangor, Muhammad Saiful Ariff Baha'uddin berharap agar acara sukan BMX terus dipertandingkan pada Sukan SEA kelak.

Beliau yakin barisan atlet negara mempunyai potensi besar untuk menyumbang pingat emas sekiranya diberi peluang beraksi di pentas serantau berkenaan.

"Sekiranya acara BMX dipertandingkan pada Sukan SEA, kita sudah mampu sediakan rider-rider (atlet) yang berpotensi untuk meraih pingat emas. Malah, kita juga mempunyai barisan atlet berpengalaman yang mampu menyumbang emas," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved