Berhenti persenda penganut agama lain

LocalPolitics
28 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Berhenti persenda penganut agama lain

KENYATAAN kontroversi seorang perwakilan UMNO, Datuk Noorazli Said, yang menjadikan paderi dan biarawati sebagai bahan jenaka dalam Perhimpunan Agong UMNO (PAU) baru-baru ini telah mencetuskan gelombang kemarahan.

Ia bukan sahaja melukai hati masyarakat Kristian di Semenanjung, malah mencetuskan rasa tidak puas hati yang mendalam dalam kalangan komuniti Kristian di Sabah dan Sarawak.

Lebih memburukkan keadaan, tindakan beliau yang didakwa salah merujuk ayat daripada Psalm 129 (Mazmur 129) menimbulkan tanda tanya sama ada beliau benar-benar memahami maksud ayat tersebut, atau sekadar melontarkannya demi mendapatkan sorakan dan gelak tawa para perwakilan.

Apa pun niat disebalik jenaka itu, perbuatan mempersendakan simbol dan watak suci agama demi hiburan politik adalah satu tindakan yang keterlaluan dan tidak wajar dimaafkan.

Gelombang ketidakpuasan hati ini diterjemahkan menerusi tindakan pantas pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik tempatan.

Saban hari laporan polis dibuat di Sabah dan Sarawak mendesak agar tindakan tegas diambil terhadap perwakilan berkenaan dibawah undang-undang sedia ada yang berkaitan dengan perbuatan menghina agama.

Menteri Perpaduan turut mengecam sekeras-kerasnya kenyataan tersebut dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus. Kontroversi ini bukan sekadar isu terlepas cakap, tetapi dilihat sebagai manifestasi ketidakpekaan terhadap kepelbagaian agama di Malaysia.

Kesan daripada keterlanjuran kata ini dijangka tidak terhenti di bilik siasatan, sebaliknya bakal merentasi sempadan pilihan raya.

Peraturan demografi politik menunjukkan betapa pentingnya kedua-dua wilayah ini: Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen. Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), landskap politik di Sabah dan Sarawak dijangka menjadi lebih rumit dan mencabar, terutamanya buat Barisan Nasional (BN) dan sekutunya.

Pengalaman pilihan raya lalu membuktikan bahawa emosi dan persepsi pengundi mampu mengubah keputusan di peti undi secara drastik.

Persepsi bahawa dominasi UMNO di dalam BN mempamerkan sikap kurang menghormati agama lain boleh meracuni fikiran pengundi di Sabah dan Sarawak yang majoritinya beragama Kristian.

Sejarah politik Malaysia menyaksikan bagaimana isu naratif kaum dan agama mampu mencetuskan tsunami politik seperti gelombang Hindraf pada PRU-12 yang mengubah corak sokongan masyarakat India secara radikal.

Adakah kontroversi paderi dan biarawati ini bakal menjadi pencetus kepada gelombang penolakan yang sama dalam kalangan pengundi Kristian pada PRU-16?

Bagi BN dan rakan sekutu, mengendurkan ketegangan sahaja tidak memadai. Pemulihan imej dan permohonan maaf yang ikhlas mungkin menjadi penentu sama ada mereka kekal relevan atau dihukum oleh pengundi di Borneo. – UTUSAN

DATUK M. PERIASAMY
Penganalisis sosiopolitik

The post Berhenti persenda penganut agama lain appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved