
KLANG, 24 OGOS: Pencapaian hebat pasukan boling padang pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 membuktikan Selangor mampu menjadi kuasa besar dalam acara berkenaan.
Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata dua pingat emas yang dituai oleh atlet muda membuktikan Selangor sentiasa mempunyai barisan pelapis muda yang bersedia menggalas cabaran.
"Seperti yang kita sedia maklum, sukan boling padang sememangnya dikuasai oleh negeri Selangor. Semua pasukan yang berhadapan dengan kita pasti akan beraksi bersungguh-sungguh untuk menewaskan kita.
"Tapi alhamdulillah atlet perseorangan lelaki dan juga triplet wanita masuk ke final dan berjaya mendapatkan dua emas," katanya kepada Media Selangor.
Beliau yang juga merupakan bapa angkat kepada sukan boling padang berkata temasya SUKMA ini diwujudkan untuk melahirkan bakat baru dan pentas menggilap atlet-atlet muda sebelum diserap ke pasukan senior.
"Tahun ini, kita menyaksikan ramai anak muda yang berpotensi besar untuk digilap bakat mereka dan diserapkan ke pasukan senior," tambahnya lagi.
Menyentuh mengenai barisan atlet muda belasan tahun yang dipertaruhkan pada edisi kali ini, beliau menyifatkan pencapaian membanggakan itu menepis dakwaan bahawa Selangor ketandusan pelapis bagi meneruskan legasi kejuaraan.






