Body Shaming Rosmah: Harith tidak hadir, permohonan peguam tarik diri ditangguhkan

LocalEntertainment
24 Nov 2026 • 4:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Body Shaming Rosmah: Harith tidak hadir, permohonan peguam tarik diri ditangguhkan
Harith Iskander (kiri) dan Datin Seri Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Ketidakhadiran pelawak dan pelakon, Harith Iskander ke Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menyebabkan permohonan peguam untuk menarik diri daripada mewakilinya dalam saman isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ditangguhkan ke bulan hadapan.

Prosiding itu membabitkan kes saman dakwaan menjadi mangsa penghinaan fizikal atau 'body shaming' menerusi satu persembahan komedi, Januari lalu.

Semasa prosiding, peguam, Sangeet Kaur Deo yang mewakili pemenang pertandingan 'Funniest Person in The World pada Disember 2016' itu berkata, barisan peguam cuba menghubungi Harith beberapa kali menerusi aplikasi 'WhatsApp', e-mel serta penyampaian dokumen secara peribadi.

Hakim, Arziah Mohamed Apandi kemudiannya tidak memberi kata putus berhubung permohonan peguam berkenaan, tanpa kehadiran anak guam selaku defendan.

Beliau menetapkan 4 Disember depan untuk pendengaran semula dan meminta pihak peguam mengambil segala langkah munasabah bagi menghubungi Harith.

"Sila pastikan defendan hadir atau memberikan maklum balas sewajarnya," kata hakim dalam prosiding pengurusan kes, dihadiri peguam, Nur-Diana Ezlyn Hashim bagi pihak Rosmah.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Sangeet berkata, peguam masih belum menerima sebarang arahan daripada Harith walaupun beberapa usaha sudah dilakukan untuk menghubunginya.

"Saya berharap dapat mendengar maklum balas daripadanya," katanya selepas prosiding.

Sebelum ini, Rosmah memfailkan saman fitnah terhadap Harith di Mahkamah Tinggi susulan dakwaan menjadi mangsa penghinaan fizikal menerusi satu persembahan komedi.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Rosmah, 75, mendakwa saman itu berkaitan persembahan 'stand-up comedy' bertajuk 'Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour' yang berlangsung di sebuah hotel di Melaka pada 17 Januari lalu.

Rosmah mendakwa, Harith memaparkan imej makhluk mitologi menyeramkan seperti toyol, pontianak dan pocong sebelum memaparkan gambarnya sebagai sebahagian daripada naratif jenaka.

Beliau turut mendakwa, kenyataan Harith yang mengaitkan imej seseorang yang menakutkan ketika melihat cermin pandang belakang sewaktu memandu di jalan gelap merujuk kepada dirinya.

Menurut Rosmah, tindakan itu memberi gambaran rupa paras dikaitkan dengan makhluk menyeramkan, sekali gus menjadikannya bahan ejekan dan penghinaan di hadapan khalayak.

End

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved