ALOR SETAR – Kerajaan Kedah menyalurkan bonus RM1,000 kepada 5,600 penjawat awam negeri, melibatkan peruntukan sebanyak RM5.6 juta sempena Aidilfitri tahun ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kepada 205 imam lantikan kerajaan negeri berjumlah RM102,500, manakala 40 guru KAFA bernilai RM20,000.
"Bantuan Hari Raya akan dibayar pada 13 Mac ni, masuk sekali gaji...semua kakitangan awam, 5,600 orang kakitangan awam kerajaan negeri dapat seorang RM1,000, melibatkan kos kewangan RM5.6 juta.
"Seramai 420 kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) juga menerima sumbangan berjumlah RM210,000," katanya.
Beliau menambah, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kepada golongan yang terlibat dalam perkhidmatan masyarakat seperti guru al-Quran, pengurus jenazah dan penggali kubur dengan jumlah keseluruhan RM2.145 juta.
Selain itu, sebanyak RM180,000 diperuntukkan bagi penganjuran majlis berbuka puasa di 12 daerah dan beberapa institusi serta kumpulan masyarakat di negeri ini.
“Keseluruhan peruntukan bagi sumbangan dan bantuan tahun ini adalah kira-kira RM7.945 juta,” katanya.


