KLANG – Bot dinaiki tujuh pemancing termasuk tekong yang dilaporkan hilang di perairan Klang pada Ahad dipercayai terbalik selepas dilambung ombak setinggi kira-kira empat meter.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd Rahimi Zainol berkata, ketika kejadian keadaan cuaca dilaporkan ribut dan ombak kuat melanda kawasan perairan berkenaan.
"Cuaca buruk menyebabkan bot dinaiki pemancing itu terbalik dan karam," katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Rahimi berkata, empat daripada tujuh pemancing terbabit berjaya ditemui dalam keadaan selamat di perairan Sekinchan, kira-kira jam 10.01 pagi pada Selasa.
**media[3648478]**
"Pihak berkuasa menerima maklumat daripada sebuah bot nelayan berhubung penemuan mangsa di kawasan perairan berkenaan.
“Pelampung keselamatan (life jacket) yang dipakai dan tong minyak kosong membantu menyelamatkan mangsa," katanya.
Menurutnya, hasil tindakan susulan, empat mangsa itu dibawa ke Pangkalan Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang.
"Keempat-empat mangsa kemudiannya di hantar ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan serta rawatan perubatan," katanya.
Empat mangsa yang ditemui selamat ialah Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43, Muhd Hamiszar Punirain, 45, Mohd Rizal Mohamad Sadali, 45, dan Zulfikalnain Awang, 47.
Sebelum ini, polis menerima laporan pada Isnin berhubung kehilangan tujuh lelaki tempatan yang keluar memancing dari Jeti Sementa, Sungai Kapar, Klang kira-kira jam 8.20 pagi.
Kesemua mereka bagaimanapun tidak kembali seperti dijadualkan, menyebabkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) digerakkan.
Operasi itu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi berkaitan.
Bagaimanapun, tiga lagi mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR diteruskan di kawasan perairan serta pesisir pantai berdasarkan sektor pencarian yang telah ditetapkan.






