Empat pemancing ditemui terapung, tiga lagi masih hilang

15 Sep 2026 • 3:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Empat pemancing ditemui terapung, tiga lagi masih hilang
Mangsa yang ditemui selamat di bawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

KLANG – Empat daripada tujuh pemancing termasuk seorang tekong yang dilaporkan hilang di perairan One Fathom Bank dekat sini berjaya ditemukan selamat pada Selasa.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kesemua mangsa ditemukan oleh bot nelayan tempatan dalam keadaan terapung di perairan Sekinchan.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua pada jam 7 pagi selepas ditangguhkan pada jam 7 malam Isnin.

“Operasi hari kedua melibatkan aset laut dan udara Maritim Malaysia serta aset Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dua bot nelayan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, sektor pencarian di laut diperluaskan sehingga meliputi kawasan seluas 203.5 batu nautika persegi, manakala pencarian udara melibatkan kawasan seluas 764 batu nautika persegi.

“Kesemua mangsa ditemukan pada jam 9.50 pagi dalam keadaan lemah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan empat mangsa yang ditemukan selamat dikenal pasti sebagai Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43, Mohd Rizal Mohamad Sadali, 45, Muhd Hamiszar Punirain, 45, dan tekong bot, Zulfikalnain Awang, 47.

Dua mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala dua lagi dibawa ke Hospital Banting bagi pemeriksaan kesihatan.

Bagaimanapun, tiga lagi mangsa masih belum ditemukan, iaitu Muhamad Ridzuan Ruhaizat, 37, Mohd Shahril Abd Rahman, 43 dan Raja Mohd Rozi Raja Mohamad, 49.

Mengulas lanjut, Abdul Muhaimin berkata, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan baki tiga mangsa yang masih hilang.

“Bagaimanapun, keadaan berjerebu menghadkan jarak penglihatan dan sedikit menyukarkan operasi pencarian,” katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus menyelaras operasi bersama semua agensi yang terlibat bagi memastikan usaha pencarian dijalankan secara menyeluruh sehingga kesemua mangsa berjaya dikesan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Maritim Malaysia Negeri Selangor di talian 013-660 6652 bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved