Empat pemancing hilang ditemui terapung, tiga lagi masih dicari

15 Sep 2026 • 4:48 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Empat pemancing hilang ditemui terapung, tiga lagi masih dicari

SHAH ALAM, 15 SEPT: Empat daripada tujuh pemancing termasuk seorang tekong yang dilaporkan hilang semalam berjaya ditemui dalam keadaan terapung di perairan Sekinchan pada jam 9.50 pagi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, keempat-empat mangsa ditemui bot nelayan tempatan ketika operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) memasuki hari kedua.

"Setakat tengah hari ini, empat mangsa berjaya ditemui oleh bot nelayan tempatan dalam keadaan terapung di perairan Sekinchan dan masih disiasat punca kejadian," katanya.

Jelasnya, keempat-empat mangsa ditemukan dalam keadaan lemah dan berada berdekatan antara satu sama lain, kira-kira 25 batu nautika dari pantai Sungai Besar, di perairan Sekinchan.

"Dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), manakala dua lagi dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut," katanya.

Operasi yang diselaraskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu disambung pada jam 7 pagi hari ini selepas ditangguhkan pada jam 7 malam semalam.

Beliau berkata, operasi hari kedua melibatkan aset laut dan udara Maritim Malaysia serta aset Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dua bot nelayan tempatan.

Sektor pencarian laut turut diperluaskan kepada 203.5 batu nautika persegi, manakala sektor pencarian udara meliputi kawasan seluas 764 batu nautika persegi.

"Semua aset yang terlibat terus mempergiatkan usaha pencarian dan menyelamat tiga mangsa yang belum dijumpai. Bagaimanapun, keadaan berjerebu menghadkan jarak penglihatan dan sedikit menyukarkan operasi," katanya.

Maritim Malaysia terus menyelaraskan usaha pencarian bersama agensi terlibat bagi memastikan operasi CARILAMAT dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan sehingga kesemua mangsa berjaya dikesan.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Maritim Malaysia Negeri Selangor di talian 013-660 6652 bagi membantu usaha pencarian dan menyelamat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved